30 May 2014
senjata rahsia askar china
KAWANAN burung yang terbang di pangkalan itu boleh menimbulkan ancaman kepada pesawat tentera.
TENAGA beruk bukan saja digunakan di kebun kelapa malah turut dalam pasukan tentera.
Pastinya ia sesuatu yang pelik didengari meskipun tenaga haiwan ini banyak digunakan di ladang untuk memanjat dan memetik kelapa.
Meskipun tidak kedengaran secara rasmi namun berita terkini tersebar mengenai tentera udara China yang kini mempunyai senjata rahsia terbaru beruk.
‘People’s Liberation Army Air Force’ melatih beberapa beruk bagi membolehkan tenteranya dalam keadaan selamat.
Perkara ini berpunca daripada sekumpulan burung yang membina sarang berhampiran pangkalan udara terbabit, ujar laporan yang diterima daripada laman web PLA.
Haiwan pintar terbabit digunakan dalam pangkalan tentera udara tidak dikenali di utara China yang terletak betul-betul di laluan utama penghijrahan burung.
Kawanan burung yang terbang di sekitar pangkalan itu menimbulkan ancaman kepada pesawat tentera yang sedang melakukan penerbangan kerana burung terbabit berpotensi untuk disedut ke dalam enjin kapal terbang.
Justeru, ia boleh membahayakan nyawa kedua-duanya iaitu burung dan juruterbang.
“Jangan bimbang, kini kami mempunyai senjata rahsia!,” ujar Su Chuang, seorang pegawai berpangkat tinggi yang dipetik daripada laman web PLA.
Pegawai itu berkata, dengan merujuk kepada beruk khas terlatih yang mendengar arahan melalui bunyi wisel.
Apabila sarang burung ditemui di atas pokok, beruk dikerahkan untuk membawa turun dan menghapuskannya.
Sejak dulu lagi, PLA sudah mencuba pelbagai kaedah yang berbeza untuk membuang sarang burung terbabit termasuk membakar sarang secara terbuka, menjolok sarang daripada pokok dengan batang buluh dan mengerahkan askar memanjat pokok untuk membuang sarang.
Tidak satu pun daripada kaedah ini memberikan kesan. Selain membuang masa dan membahayakan nyawa pegawai tentera yang terpaksa memanjat pokok, burung berkenaan tetap singgah dan membina sarang baru.
Namun, selepas beruk membuang sarang terbabit, kawanan burung itu tidak kembali lagi kerana dikatakan beruk mempunyai bau yang ditinggalkan pada setiap cabang pokok dan ia tidak menggalakkan burung untuk singgah.
“Beruk itu adalah pengawal peribadi setia yang mempertahankan keselamatan rakan kami,” ujar laporan yang dipetik daripada laman web PLA itu.
No comments:
Post a Comment