26 June 2014
alahai....takkan dah sampai menjadi gelandangan dan merempat bawah jambatan baru baitulmal sibuk nak bantu....!!!
BEGINILAH keadaan pada waktu malam Julaina (kiri) dan empat anaknya yang tidur bertemankan cahaya lilin di bawah Jambatan Lebuh Pasar.
EMPAT beradik yang hidup bergelandangan ini hanya mampu melihat sisa makanan di bawah Jambatan Pasar Besar, Kuala Lumpur.
SELAMA setahun baju-baju keluarga ini dijemur berhampiran 'kediaman' mereka iaitu berhampiran Jambatan Pasar Besar
Julaina menceritakan detik-detik hitam sepanjang menghuni di bawah jambatan Sungai Klang, Kuala Lumpur sehinggalah mereka memperoleh sebuah rumah bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
DI bawah jambatan konkrit yang terletak di Lebuh Pasar Besar berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur itu tiada apa-apa yang menarik untuk diperkatakan. Apa yang ada cuma bau busuk daripada Sungai Klang berwarna kuning coklat, longkang yang menyalurkan air buangan ke dalam sungai dan sampah sarap serta rumput-rumput yang tumbuh meliar di celah-celah lantai konkrit itu.
Namun, dari jauh kelihatan beberapa kanak-kanak sedang galak bermain. Sesekali terdengar hilai tawa mereka. Riang menikmati zaman kanak-kanak.
Seorang wanita berusia awal 30-an yang sedang duduk bersimpuh nampak asyik melihat telatah kanak-kanak itu. Nampak gembira di sebalik susuk tubuhnya yang begitu kurus.
Wanita itu, Julaina Jalil, cukup gembira dapat melihat keempat-empat anaknya berada di depan mata walaupun jauh di sudut hatinya begitu kecewa kerana tidak dapat mengurniakan kehidupan yang lebih baik buat mereka.
Anak-anaknya juga seakan-akan faham situasi yang sedang dihadapi keluarganya. Meskipun tidak pernah merungut namun jauh di sudut hati mereka ingin bersekolah dan hidup selesa seperti orang lain.
Suami Julaina yang hanya, mahu dikenali sebagai Bob Komando pula kelihatan tidak bermaya. Badannya kurus dan muka cekung, cukup untuk menggambarkan penderitaan yang dihadapinya.
Selain hidup bergelandangan, Bob juga khabarnya menderita penyakit kanser usus tahap ketiga yang dikesan sejak 15 tahun lalu.
Kisah hidup bergelandangan mereka bermula apabila lelaki ini meninggalkan kerja-kerja kongsi gelap yang pernah disertainya.
Menurut Bob, dia mesti memikirkan masa depan keluarga. Walaupun pernah hidup mewah, tetapi hidupnya tidak tenang dan ada sahaja yang memusuhi.
"Jadi, saya membuat keputusan untuk cuci tangan. Saya mahu bertaubat dan meneruskan kehidupan baharu," luahnya ketika ditemui baru-baru ini di kediamannya.
Enggan mengulas tentang sejarah hitam yang ingin dilupakan, Bob dan keluarga pernah mendiami sebuah rumah di kawasan setinggan, Selayang sebelum rumah tersebut dirobohkan.
Tidak mempunyai pilihan lain, Bob membawa isteri dan anak-anaknya bersama beg pakaian mereka hidup bergelandangan.
Walaupun hidup bergelandangan, Bob yang mempunyai empat orang anak tidak pernah mengajar mereka untuk meminta-minta atau mengemis. Sebaliknya, dengan sisa kudratnya yang masih ada, Bob yang berusia awal 40-an itu cuba mencari kerja bagi menyara keluarganya.
Seperti mendapat sinar baharu, Bob yang ditawarkan menjadi pengawal keselamatan begitu gembira kerana ada punca pendapatan untuk membelikan makanan kepada isteri dan anak-anaknya berusia 10 hingga empat tahun itu.
Namun, episod duka keluarga ini tidak berakhir di situ. Bob telah ditipu majikannya apabila dia bekerja tanpa dibayar gaji. Tidak mahu terus diperbodohkan, Bob mengambil keputusan berhenti kerja.
Bagi mencari sesuap nasi, dia dan keluarga mengutip barangan terpakai dan menjualnya untuk mendapatkan duit.
"Hasil jualan tidaklah banyak. Secara purata, RM7 sehari. Dengan duit itu, saya akan membeli nasi berlauk kuah kari dan dimakan bersama anak-anak.
"Makanan itu tidaklah sampai mengenyangkan perut kami. Tapi cukup untuk hilangkan rasa lapar dan memberikan tenaga untuk esok hari," kongsi anak kota itu. Bob mahupun Julaina merupakan pasangan sebatang kara. Ibu bapa kedua-dua pasangan tersebut sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Julaina berkata, pada hari pertama tanpa rumah dan berada di sekitar ibu kota, dia berasa sangat malu dan sangat hina.
"Perasaan hidup tanpa rumah dan merempat di tepi-tepi lorong itu membuatkan saya rasa begitu malu. Seperti semua orang yang lalu lalang itu sedang memandang kita dengan perasaan jelik.
"Saya tebalkan muka dan cekalkan hati. Saya percaya semua yang berlaku pasti ada hikmah," ujarnya.
Setelah beberapa hari berada di tepi-tepi bangunan, keluarga ini kemudiannya menjumpai kediaman baharu iaitu di bawah jambatan konkrit tersebut.
Kehidupan di bawah jambatan disifatkan Julaina jauh lebih baik berbanding berada di lorong-lorong sebelum ini.
"Jambatan inilah 'syurga' kami. Pengalaman berada di sini sangat bermakna dan menyimpan pelbagai memori yang tidak mungkin akan kami lupa," tegasnya.
Kediaman yang dianggap syurga itu berada di tepi sungai yang kotor dan saluran longkang yang kadangkala mengeluarkan bau busuk.
Namun, dengan air longkang yang busuk itulah Julaina dan keluarganya membersihkan diri daripada keringat peluh setelah seharian mencari bahan buangan.
Bagi mereka, kotor atau tidak bukanlah menjadi keutamaan, tetapi berasa segar setelah badan bersentuh air adalah nikmat yang tidak boleh mereka nafikan.
Jelas wanita ini, air longkang yang jatuh ke dalam sungai itu seperti bunyi deruan air terjun yang melenakan tidur mereka.
Meskipun tidur hanya beralaskan kotak dan kertas dan sesekali digigit nyamuk, ia tidak mengganggu mimpi mereka.
"Bau busuk, bunyi air dan cengkerik, gigitan nyamuk serta bunyi bising daripada kenderaan yang lalu lalang di atas jambatan itu seperti irama yang membuatkan kami mengantuk dan diulit mimpi.
"Ruang yang terbuka juga membenarkan angin menyapa tubuh kami. Kami tidak pernah berasa bahang panas. Cuma kami perlu beringat ketika hujan turun," ceritanya yang mempunyai anak kelainan upaya berusia 10 tahun.
Cerita Julaina, ketika hujan lebat, air sungai tersebut akan melimpah dan membanjiri lantai yang menjadi alas tidur mereka.
Mereka sekeluarga akan memanjat tangga yang tingginya kira-kira tiga meter untuk naik ke bahagian atas jambatan.
Pernah sekali Bob Komando terjatuh ketika mahu memanjat tangga tersebut kerana licin. Kesannya, dia masih terasa sakit sehingga sekarang akibat tulang jari kanannya terseliuh dan retak.
Dalam keadaan kesempitan hidupnya, Julaina masih mempunyai belas kasihan. Dia pernah membenarkan seorang remaja perempuan yang lari dari rumah untuk berteduh di 'kediamannya.'
Bak melepaskan anjing tersepit, pertolongan itu telah membawa padah kepada keluarganya. Gadis itu telah berpakat dengan teman lelakinya untuk menculik anak-anak Julaina.
Kejadian yang berlaku pada bulan Mac lalu masih segar dalam ingatan anak-anaknya yang masing-masing berusia 10, 9, 5 dan 4 tahun.
Jelas salah seorang anaknya itu, pada awalnya gadis tersebut mengajak mereka berkelah di kawasan air terjun.
"Kereta yang dipandu membawa kami semakin jauh hinggalah kami sedar yang kami bukan dibawa untuk berkelah sebaliknya diculik," katanya yang bercita-cita untuk menjadi peguam.
Ibunya yang cepat sedar kehilangan anaknya telah menghubungi pihak polis dan Rakan COP untuk mengesan kereta yang membawa anak-anaknya yang akhirnya menemukan mereka di Nilai, Negeri Sembilan.
Sejak itu, Julaina bertekad untuk tidak mudah mempercayai orang lain. Selepas setahun hidup di bawah jambatan, Julaina dan keluarganya sudah meninggalkan 'syurga' mereka. Keluarga bertuah ini telah menerima bantuan sewa rumah baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur. Mereka baru tiga minggu menetap di rumah tersebut.
Kini, Julaina dan suami sedang merancang untuk mengusahakan perniagaan untuk menyara keluarganya.
"Saya juga mahu memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Saya mahu impian mereka untuk belajar di sekolah menjadi kenyataan," kongsinya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment