keputusan terkini piala dunia 2014

selongkar di sini

PLEASE PRAY FOR GAZA











Get paid to share your links!

posting terkini

12 June 2014

duduk lama di negara ini..tapi bahasa malaysia makin hancus....!!!




Kita boleh terkebil-kebil selepas membaca ayat ringkas yang tertera di sehelai kain rentang baru-baru ini.

Jelas ia adalah iklan daripada pengusaha sebuah medan selera baharu dibuka yang dipasang untuk menarik pelanggan.

Bagi yang tidak ambil pusing hal penggunaan bahasa, perkataan begitu mungkin biasa-biasa sahaja.

Bagi mereka yang mahu fikirkannya dari sudut kelucuan, ayat itu memang menggelikan hati, tetapi bagi yang mahu martabatkan bahasa Melayu sebagai ‘bahasa jiwa bangsa’, ayat itu adalah apa yang boleh kita anggap sebagai penghinaan kepada kecerdasan.

Sebelum pembaca budiman terus pening memikirkan apakah yang ditulis di kain rentang itu yang membuat kita semua  terkesima adalah  ayatnya  ‘MAHKAMAH MAKANAN KAMI SUDAH DIBUKA’. Tidakkah anda terpinga-pinga seketika selepas membaca ayat itu?

Ayat itu ketara menunjukkan masih ada manusia di bumi yang dikenali sebagai Malaysia ini tidak mampu, secara paling minima, berbahasa Melayu seperti selayaknya.

Mana datangnya mahkamah makanan? Yang ada mahkamah tinggi, mahkamah sesyen, mahkamah rayuan, mahkamah persekutuan, mahkamah syariah dan sebagainya.

Setelah terkelip-kelip  bijik mata  seketika, baru kita  faham rupanya apa yang pencipta perkataan pada kain rentang tadi ingin beritahu orang ramai ialah ‘medan selera kami sudah dibuka’. Masalahnya, dia terjemah terus daripada kamus yang menyebut food sebagai ‘makanan’ dan court sebagai ‘mahkamah’.

Berpandukan kamus, dia anggap court itu tiada lain melainkan ‘mahkamah’. Maka terciptalah ‘mahkamah makanan’, sedangkan yang betul ialah ‘medan selera’. ‘restoran’ atau ‘kedai makan’ pun boleh diterima lagi, tapi ‘mahkamah makanan’?

Bayangkan apa akan jadi kalau perkhidmatan penasihat yang sama digunakan untuk menterjemahkan perkataan-perkataan seperti badminton court, tennis court, hold court dan court danger...

Pembaca budiman tentu faham maksud ‘sokong bawa rebah’. Untuk mudah faham lagi, guna sahaja perumpamaan ‘tikus baiki labu’. Perumpamaan begini memang sesuai untuk menggambarkan penasihat seperti itu.

Maka jelaslah ini hanyalah  salah satu dari the tip of the iceberg (sebahagian kecil daripada yang lebih besar). Setuju?

Rajin-rajinlah baca papan iklan, papan tanda dan yang seumpamanya. Anda akan lihat pelbagai 'keajaiban' lagi; ‘kedai katok bodi’, ‘jalan lencun’; ‘kedai jahit wanita’, ‘pusat ulut’, ‘kedai besi buruh’ dan banyak lagi. Mahu ketawa atau menangis selepas membacanya, terpulanglah!

Disebabkan kekalutan seperti inilah, maka kita  rasa bangga apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika di Beijing baru-baru ini, menyatakan bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur, kita juga  boleh rasa mahu menangis  di buatnya.

Minat terhadap pengajian Melayu dikatakan bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan menjadi agenda pendidikan hampir di serata dunia.

Menurut Sasterawan Negara, Profesor Dr Muhammad Salleh dua tahun lalu, berdasarkan kajian sebuah universiti di kota London, dalam sekitar 20 tahun akan datang, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa keempat terbesar dunia selepas Mandarin, Sepanyol dan Inggeris.

Marilah kita semua berharap dan berdoa agar apa yang diramalkan itu menjadi kenyataan.

Tetapi liku-liku ke arah itu tidak begitu mudah. Untuk menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu, semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan wajib bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam mencipta sesuatu, istilah, perkataan atau singkatan.

Kalau kita sendiri tidak tahu bezakan 'terperosok' dengan 'tersorok'; bersekongkol dengan 'setongkol'; 'komited' dengan 'kemetot'; lebih berminat sibukkan diri kaji hal peribadi orang daripada membaca untuk menambah ilmu dan tingkatkan mutu bahasa, apa yang dimimpikan akan kekal sebagai mimpi. Wallahualam!

1 comment :

  1. PBT hnya turunkan banner yg x bayar sahaja (xde permit). Kesalahan bahasa xde dlm skop krja. Takpun jawapan paling mudah " PBT terlepas pandang".Biase lah duit dah masyukkk

    tapi bila iklan tanpa permit atau pro pembangkang laju ajer mangkuk nie bertindak...

    ReplyDelete