keputusan terkini piala dunia 2014

selongkar di sini

PLEASE PRAY FOR GAZA











Get paid to share your links!

posting terkini

Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

07 July 2014

berhati-hati beli juadah berbuka



BAZAR Ramadan sentiasa menjadi tumpuan masyarakat untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

HARI ini masuk sembilan hari umat Islam di negara ini menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Ibadah puasa bukan sahaja bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga antara terbit fajar hingga terbenam mentari.

Malah, ia merangkumi semua perkara yang boleh membatalkan ibadah tersebut seperti memasukkan objek ke dalam rongga badan yang terbuka secara sengaja, kedatangan haid, nifas atau kelahiran bagi wanita, menjadi gila dan pitam sepanjang hari.

Ketibaan bulan mulia ini sinonim dikaitkan dengan kewujudan bazar Ramadan yang boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Bazar Ramadan merujuk kepada aktiviti perniagaan di sesuatu lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengunjung setempat untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka sama ada moden mahupun tradisional.



PENCEMARAN silang merupakan salah satu faktor berlakunya masalah cirit-birit.

Pembukaan bazar Ramadan ini memudahkan masyarakat terutamanya yang sibuk dengan tugasan seharian untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka seperti air, kuih-muih, lauk-pauk sehinggalah kepada buah-buahan.

Walaupun begitu, kita pasti tidak terlepas daripada mendengar kisah-kisah keracunan makanan yang sering dialami oleh masyarakat selepas menjamah juadah berbuka yang dibeli dari gerai-gerai yang terdapat di bazar Ramadan.

Aktiviti penyediaan makanan yang tidak bersih antara salah satu faktor berlakunya masalah keracunan makanan.

Kewujudan pencemaran silang seperti tangan dan alatan yang tidak bersih ketika mengendalikan makanan akan menyebabkan wujudnya bakteria staphylococcus.

Bakteria ini sering terdapat pada bahagian kulit manusia.

Sekiranya penjual tidak memakai sarung tangan atau tidak membasuh tangan ketika mengendalikan makanan, maka bakteria tersebut akan dipindahkan secara terus kepada makanan.

Makanan yang tercemar itu sekiranya dimakan, ia akan menyebabkan perut berasa memulas dan cirit-birit.



BAKTERIA salmonella yang terdapat pada daging akan menyebabkan cirit-birit sekiranya tidak dimasak dengan sempurna.


Selain itu, masakan yang dimasak secara tidak sempurna juga merupakan salah satu punca berlakunya keracunan makanan.

Makanan dimasak tidak sempurna akan menyebabkan bakteria salmonella yang terdapat pada daging atau ikan tidak mati sepenuhnya.

Sekiranya makanan tersebut dibiarkan dalam jangka waktu empat atau lima jam sebelum dimakan, ia akan menyebabkan bakteria tersebut kembali membiak.

Bakteria boleh membiak dengan pantas, sekiranya ada seribu bakteria pada sesuatu makanan, dalam masa dua jam ia boleh berganda menjadi sejuta.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa bakteria salmonella boleh membiak dengan cukup pantas.

Individu yang mengambil makanan yang dicemari dengan bakteria tersebut ketika berbuka akan mengalami masalah perut tidak selesa, cirit-birit dan muntah pada waktu awal pagi.

Hal ini kerana, bakteria salmonella bertindak balas agak perlahan berbanding staphylococcus.

Individu yang mengalami cirit-birit yang berlarutan sehingga waktu siang dan jika berpuasa digalakkan untuk berbuka.

Ini kerana, cirit-birit akan menyebabkan berlakunya kehilangan air yang banyak dalam badan, sekiranya air tidak diambil, ia boleh membawa maut.

Dalam pada itu, para pengguna terutamanya pengunjung bazar Ramadan di nasihatkan supaya membeli juadah di gerai yang diyakini bersih dan selamat.

Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan di harapkan  dapat memainkan peranan lebih berkesan dengan melakukan pemantauan secara berkala di gerai-gerai yang terdapat di bazar Ramadan.


15 June 2014

kunyit jadi ubat penahan sakit...?




FUNGSI kunyit dalam masakan dan turut dijadikan bahan penyembuh perubatan tradisional Melayu.

KUNYIT atau nama sainstifiknya Curcuma longa termasuk dalam salah satu tanaman rempah yang terdapat banyak di wilayah Asia terutamanya di India dan di nusantara.

Sebagai tumbuhan herba, kunyit lazimnya digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan masyarakat di Asia.

Namun di Malaysia, kunyit bukan sahaja digunakan dalam masakan, malah ia turut dijadikan bahan penyembuh dalam perubatan tradisional Melayu.

Menurut kepercayaan masyarakat tempatan, kunyit dipercayai berupaya mengubati penyakit-penyakit seperti asma, kekejangan, hipertensi, sesak nafas, hidung berair, batuk, resdung, gangguan hati, tiada selera makan, sakit sendi, diabetes dan luka.

Kehebatan herba ini terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning pada kunyit. Pigmen yang dikenali sebagai curcumin itu mempunyai pelbagai khasiat.


KUNYIT berupaya mengawal keradangan sendi dan belakang yang berpunca daripada kerosakan rawan. - Gambar hiasan


UJIAN klinikal menunjukkan pengambilan kunyit lebih baik berbanding ubat.

Pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, curcumin adalah antara bahan penyembuh terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden.

Ujar beliau, curcumin telah terbukti berkesan dijadikan sebagai ubat penahan sakit kerana ia berupaya mengawal keradangan secara dalaman.

“Curcumin bukan sahaja melegakan keradangan atau kesakitan malah ia juga mampu membina semula tulang rawan yang rosak serta memulihkan sendi.

“Kuasa antioksida dalam curcumin juga mampu membaiki kerosakan oksidatif yang berpunca daripada keradangan,” katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sakit sendi

Katanya, kunyit sering kali digunakan secara tradisional dalam mengawal keradangan sendi dan belakang yang berpunca daripada kerosakan rawan.

Rawan adalah tisu kuat yang fleksibel sifatnya dan ada di seluruh tubuh. Kerosakannya bukan setakat menjejaskan pergerakan individu, malah kehidupan seharian.

Ujar Bodeker, hasil ujian klinikal menunjukkan, curcumin lebih berkesan mengawal sakit sendi dan belakang berbanding ubatan antiradang lain yang mengandungi bahan kimia berbahaya.

“Hasil kajian, pesakit yang mengambil kunyit selama lapan minggu mempunyai pengurangan gejala kesakitan sebanyak 44 peratus berbanding mereka yang mengambil ubat-ubatan antiradang iaitu hanya 42 peratus sahaja.

“Ini jelas menunjukkan kunyit lebih baik berbanding ubat-ubatan biasa. Ia juga tidak meninggalkan kesan sampingan seperti pengambilan ubat yang mengandungi bahan kimia,” katanya.

Selain itu, pakar perubatan daripada Pusat Kanser Texas itu turut memaklumkan bahawa curcumin juga mampu meneutralkan radikal bebas yang menjadi punca kepada penyakit kanser.

Tambah beliau, radikal bebas ialah bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel dalam badan.

Justeru, melalui pengambilan curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polifenol, ia sedikit sebanyak dapat membantu mencegah tanda-tanda awal kanser.

20 May 2014

cara berhenti rokok yang selamba tapi berkesan




Rokok sudah difatwakan haram. Jadi, bagi perokok di luar sana haruslah berusaha untuk berhenti.

Kami pasti, suatu masa dahulu, anda bukanlah seorang perokok. Namun, atas pengaruh rakan-rakan, anda akhirnya terjebak dan menjadi seorang perokok tegar.


Beribu-ribu wang telah dihabiskan untuk membeli rokok selama beberapa tahun kebelakangan ini. Prestasi kesihatan anda pula, semakin menurun.

Jika dulu anda boleh berlari dan bermain bola tanpa rasa penat, kini, baru naik tangga rumah contohnya sudah pun termengah-mengah.

Tidak perlulah kami menceritakan secara terperinci akan keburukan merokok kerana kami pasti anda pun sudah sedia maklum.

Malah anda mungkin lebih arif lagi mengenainya. Masakan tidak, setiap hari anda membaca notis amaran serta melihat gambar yang mengerikan yang terdapat pada kotak rokok tersebut. Sudah tentunya anda sudah begitu faham dan tahu mengenainya.

Namun begitu, walaupun betapa nikmatnya anda menghisap asap pahit itu, kami pasti, ada sekelumit niat serta keinginan di dalam diri anda untuk berhenti merokok.

Niat untuk berhenti merokok ini sememangnya ada di setiap benak fikiran dan sanubari semua perokok.

Tetapi, ramai yang gagal. Jika berjaya pun, hanya untuk sementara waktu sahaja.

Dua atau tiga hari selepas itu mereka akan menghisap rokok semula. Akhirnya, mereka pasrah dan berfikir, “Tidak mengapalah, lama-lama nanti aku akan berhenti sendiri bila sampai waktunya”.

Mungkin 10 amalan ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengurangkan dan seterusnya berhenti :-

Lengahkan

Jika ada rasa mahu ‘pekena sebatang’ lengahkan. Lewatkan 10 minit. Buatlah perkara lain dulu. Minum kopi atau buat apa saja yang boleh mengalihkan perhatian. Ulang sebanyak mungkin bila tiba rasa nak merokok.

Tolak Konsep ‘Cukuplah Sebatang’

Jangan terperdaya dengan ‘cukuplah sebatang’. Tak payah hisap langsung jika sudah ada keinginan nak berhenti merokok. Ini kerana sebatang rokok akan menyebabkan rokok dihisap habis sekotak.

Elakkan Punca Merokok

Kenali apa punca merokok. Contohnya semasa bersama dengan kawan-kawan, menghadapi tekanan atau selepas makan. Cuba sebaik mungkin untuk terlibat dengan punca-punca merokok ini. Jika ramai kawan-kawan yang merokok, cuba elakkan untuk melepak terlalu lama. Atau jika sebelum ini bercakap di telefon menimbulkan rasa hendak merokok, ambillah sebatang pen dan contenglah sepuas hati.

Bersenam

Ya, cara berhenti merokok ini sangat membantu menghilangkan ketagihan merokok. Adakan rutin 30 minit senaman setiap hari. Jika tersangkut di pejabat. Lakukan senaman ringan seperti push up, lari-lari anak atau buat solat sunat dan jika ada masa lagi bacalah Al-Quran. Dan berdoa minta Allah kuatkan semangat untuk tak menjamah rokok.

Belajar Untuk Bertenang

Tekanan adalah satu penyebab paling popular kenapa merokok. Jadi cubalah menjadi seorang yang lebih ‘cool’ dan lebih bijak dalam berdepan dengan tekanan. Contoh paling baik, ambillah air sembahyang. Atau buat teknik ‘deep breathing’ (dua saat tarik nafas- empat saat tahan- lapan saat hembus nafas keluar). Atau, bayangkanlah sesuatu yang membuatkan anda rasa sejuk.

Libatkan Keluarga Dan Rakan-Rakan

Beritahu ahli keluarga dan kawan-kawan bahawa anda mahu berhenti merokok. Jadi bila timbul keinganan nak merokok, beritahu mereka. Sudah pasti mereka akan ingatkan kembali niat murni anda yang sudah tak mahu merokok. Paling efektif ialah beritahu pada isteri. Sudah pasti dia akan menyokong 100% keputusan itu.

Ingatlah Kebaikan Tidak Merokok

Buat senarai atau sebutkan kebaikan yang akan dapat jika tidak merokok. Sebagai contoh, isteri semakin menyayangi anda dan bagi yang sudah berkeluarga, anak-anak akan bertambah sihat. Bagi pemuda pula, anda akan semakin awet muda serta nafas akan berbau harum. Jadi, jika yang masih belum berkahwin pasti akan memudahkan anda berkomunakasi dengan wanita. Apa saja yang menambahkan semangat untuk tak merokok lagi.

‘Go Online’

Rajinkan diri mencari inspirasi kisah-kisah mereka yang sudah berjaya berhenti merokok. Ketahui dan belajar bagaimana cara mereka berhenti merokok, bertarung dengan keinginan hendak merokok. “Brader, you are not alone”.

Menguyah

Jika rasa hendak merokok, kunyah adalah cara untuk anda berhenti merokok yang paling senang. Cari bahan kunyahan yang sihat seperti kacang atau gula-gula getah yang kurang gula.

Sibukkan diri anda setelah makan

Banyak perokok yang setelah makan mereka akan memilih untuk menghisap rokok. Namun jika anda sudah memutuskan anda harus benar-benar berhenti, caranya mudah iaitu selepas selesai menjamu selera cepat-cepat menggosok gigi atau melakukan sesuatu perkara seperti berjalan bagi melupakan keinginan anda untuk merokok setelah makan. Meskipun agak berat jika anda lakukan secara rutin tetapi anda akan biasa apabila setiap hari anda mengulangi perbuatan yang sama.

15 May 2014

mengantuk boleh beri risiko sakit jantung



GANGGUAN tidur dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular.

SERING mengantuk pada waktu siang dikaitkan dengan gangguan kesihatan yang mampu meningkatkan risiko serangan jantung dan strok khususnya dalam kalangan wanita.

Menurut data penyelidikan, para penyelidik menghubungkan rasa mengantuk pada siang hari dengan penyakit kardiovaskular.

"Tidur yang kurang, bekerja secara syif dan berdengkur ketika tidur adalah antara punca seseorang mudah mengantuk pada waktu siang. Gangguan berkenaan menyumbang kepada risiko strok dan penyakit jantung," kata ketua penyelidik, James E. Gangwisch.

Penyelidikan tersebut dijalankan ke atas 84,000 wanita di Amerika Syarikat yang mengikuti Kajian Kesihatan Kejururawatan II antara tahun 2001 hingga 2009.

Dalam kajian itu, penyelidik memantau perkembangan responden termasuk penggunaan aspirin, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi setiap dua tahun sekali sehingga tahun 2009.

Pada akhir ujian, seramai 500 wanita didiagnosis dengan penyakit jantung dan strok.

"Sebanyak 5 peratus wanita yang sering mengadu mengantuk berisiko lima kali ganda lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung berbanding mereka yang tidak berasa mengantuk.

"Mereka juga cenderung menjadi murung, mengalami gangguan tidur, menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan mempunyai paras kolesterol yang tinggi," jelas Gangwisch.


10 May 2014

jantung bergerak 90 darjah



GAMBAR menunjukkan kedudukan jantung seorang lelaki di Itali yang beralih kedudukan ke kanan (dalam bulatan).

ROM – Jantung seorang lelaki yang terlibat dalam satu kemalangan motosikal bergerak dari kiri ke kanan, lapor portal berita ABC News semalam.

Doktor-doktor yang melakukan pemeriksaan X-ray mendapati jantung milik seorang lelaki berusia 48 tahun itu telah beralih kedudukan.

Pemeriksaan X-ray itu dibuat selepas beberapa doktor gagal mendengar degupan jantungnya di tempat asal jantung tersebut.

Sehubungan itu, doktor melakukan pemeriksaan x-ray dan mendapati jantungnya telah beralih sehingga 90 darjah dan terletak di bahagian kanan dadanya.

Ketika jantungnya beralih kedudukan, dia hanya mengalami penurunan kecil tekanan darah dan peningkatan kadar degupan jantungnya.

Tulang rusuk lelaki itu turut patah dan limpanya pecah, menurut majalah New England Journal of Medicine.

Namun, doktor-doktor berjaya menarik keluar udara dari rongga dada lelaki tersebut sekali gus dapat membetulkan semula kedudukan jantungnya dalam tempoh 24 jam.

05 May 2014

sendi rosak kerana gemuk



RADANG sendi.


Pernah rasa sakit secara tiba-tiba di lutut hingga sukar berjalan? Selepas diurut beberapa kali dengan minyak panas, barulah kaki berupaya melangkah perlahan-lahan? Bersedialah, kerana itu antara beberapa simptom masalah osteoartritis lutut yang dialami kebanyakan golongan muda hari ini.

Meskipun usia adalah faktor utama bagi osteoartritis lutut, golongan muda kini turut berisiko disebabkan keturunan, kecederaan ketika bersukan, jangkitan atau berat badan berlebihan


Osteoartritis (OA) lazimnya radang sendi, berlaku apabila kusyen semula jadi antara sendi iaitu tulang rawan mula menjadi haus.

Apabila ini berlaku, tulang sendi itu akan saling bergesel lebih rapat dan kurang serapan hentakan yang sebelum ini memberi perlindungan kepada tulang rawan itu.

Geselan ini akhirnya menyebabkan kesakitan, bengkak, kekakuan dan menurunnya tahap keupayaan untuk bergerak.

 OA adalah kumpulan artritis paling kerap ditemui yang biasanya dialami individu berusia 45 tahun ke atas.

Tapi dengan perubahan gaya hidup zaman ini, makin ramai golongan muda seawal 20-an mula mengalaminya hingga ada yang terpaksa mendapatkan rawatan suntikan dan memerlukan pembedahan.

Wanita juga didapati lebih berisiko mengalami osteoartritis lutut ini berbanding lelaki.

Penyebab utama OA ialah umur dan hampir setiap individu akan mengalami beberapa tahap osteoartritis. Bagaimanapun, beberapa faktor lain turut dikenal pasti berupaya meningkatkan risiko artritis yang ketara pada usia lebih awal.

Berat badan berlebihan akan memberikan bebanan kepada sendi terutamanya lutut. Setiap kilogram berat yang bertambah akan memberikan tiga ke empat kali tekanan pada lutut.

Faktor keturunan atau mutasi genetik pula membuatkan seseorang lebih cenderung untuk mengalami osteoartritis lutut disebabkan tahap abnormal yang diwarisi dalam bentuk tulang yang mengelilingi sendi lutut.

Selain itu, kecederaan berulang dan tekanan kerap seperti mencangkung atau mengangkat barangan berat juga akan menyebabkan berlakunya osteoartritis lutut ini.

Tidak ketinggalan atlet kerana pendedahan berterusan kepada tekanan lutut terutama sukan yang banyak membabitkan penggunaan kaki.

Rawatan tanpa ubatan biasanya dilakukan terlebih dulu kepada pesakit bagi mengurangkan kesakitan dan simptom sedia ada.

Rawatan dimulakan dengan perubahan gaya hidup terutama mereka yang mengalami masalah berat badan, latihan fisioterapi dan rawatan menyelaraskan semula bahagian yang sakit.

Jika rawatan ini tidak berupaya membantu pesakit, barulah disyorkan penggunaan ubatan tahan sakit seperti COX-2, suntikan dan akhir sekali pembedahan.

Bagaimanapun ada segelintir pesakit yang tidak mahu bergantung kepada ubat tahan sakit dan memilih suntikan atas faktor segera serta efektif.

Wujud dua jenis suntikan, steroid dan gel yang bertindak mengurangkan kesakitan dan bengkak pada lutut.

Suntikan steroid atau kortikosteroid ini membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak OA dengan cairan yang dihasilkan di lutut. Suntikan ini juga mengurangkan keradangan pada sendi.

Ia bertindak dengan segera, biasanya antara 24 hingga 48 jam. Secara purata, kelegaan daripada kesakitan yang ditawarkan menerusi suntikan ini bertahan antara enam hingga 12 minggu.

Namun ia tidak boleh digunakan secara kerap, biasanya dua hingga tiga kali setahun.

Suntikan gel atau dikenali sebagai suntikan asid hyaluronic ini turut bertindak seperti kortikosteroid, cuma kosnya lebih tinggi daripada rawatan lain.

Kebanyakan cecair pada lutut yang sihat mengandungi asid hyaluronic tapi apabila berlakunya OA, asid hyaluronic itu makin berkurangan. Suntikan ini dilakukan bagi meningkatkan semula kandungan cecair itu.

Suntikan ini hanya dilakukan apabila benar-benar perlu dan tiada perubahan positif pada simptom.

Kesan sampingan pasti ada dan tidak menafikan pesakit akan mengalami beberapa rasa tidak selesa selepas disuntik.

Ia seperti kita masukkan sesuatu pada lutut. Rasa tidak selesa dan ada sesetengahnya mengalami kesan bengkak kecil pada permulaannya. Tapi selepas beberapa hari, kesan itu hilang dan tidak lagi timbul rasa sakit ketika melakukan pergerakan.

Apapun semuanya bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri.


lemak ikan baik untuk kesihatan jantung





Makanan laut adalah baik dalam Islam dan sangat istimewa kerana semua makanan laut adalah halal. Hasil pemerhatian awal saintis mendapati masyarakat Inuit atau Eskimo mempunyai kadar penyakit jantung rendah dan paras kolesterol lebih rendah berbanding masyarakat bandar di Amerika Syarikat dan Eropah.

Diet pemakanan masyarakat Eskimo tinggi dengan lemak dan minyak, walaupun kurang memakan sayur-sayuran. Makanan orang Eskimo adalah hasil laut, terutama ikan.

Kajian juga menunjukkan rakyat Jepun adalah ‘pemakan‚ ikan terbesar dunia dan mempunyai kadar penyakit jantung rendah berbanding masyarakat di Amerika Syarikat.

Begitu juga masyarakat di Mediterranean yang banyak makan ikan dan makanan laut. Kesimpulan daripada kajian itu ialah, ikan dan kebanyakan hasil laut kaya dengan asid lemak Omega 3.

Fenomena ini menjadi ‘ironi‚ yang menarik dan seolah-olah ‚menentang arus‚ serta berbeza dengan pandangan umum bahawa pemakanan tinggi lemak menjadi punca penyakit jantung.

Hakikatnya ada lemak yang baik untuk kesihatan jantung iaitu Omega 3. Sekarang kita biasa melihat iklan dan jenama produk mempunyai kandungan Omega 3 yang dikaitkan dengan kesihatan jantung. Tentu anda selalu melihat singkatan EPA dan DHA pada label tin susu dan minyak masak yang dibeli di pasaran.

Asid lemak Omega 3 adalah contoh lemak sihat yang boleh membantu mencegah penyakit jantung. Selalunya kita takut dengan istilah ‘lemak‚ hingga menyangka semua lemak adalah tidak sihat dan boleh meningkatkan paras kolesterol.

Sebenarnya, lemak ikan boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan trigliserida serta menaikkan paras kolesterol baik HDL.

Banyak kajian membuktikan lemak ikan kaya dengan asid lemak ‘Omega 3‚ yang terbukti boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari.

Kajian sains menunjukkan ikan berlemak seperti salmon, tuna, sardin, makerel dan trout mempunyai kandungan Omega 3 yang tinggi.

Asid lemak Omega 3 akan memperlahankan pemendapan kolesterol pada dinding saluran darah dan mengurangkan keradangan pada dinding saluran dalam tubuh manusia.
Oleh itu, pemakanan ikan setiap hari digalakkan sebagai sebahagian daripada cara pemakanan sihat yang boleh menurunkan paras kolesterol, mengawal tekanan darah dan mencegah sakit jantung.

Pada 8 September 2004, FDA ia-itu badan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal perubatan di Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan menyokong Omega 3 (EPA & DHA) sebagai makanan tambahan yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

FDA juga menyarankan pemakanan ikan dengan lebih kerap kerana kandungan Omega 3 dalam ikan mampu menurunkan risiko sakit jantung koronari.

FDA juga membenarkan pengilang dan pengedar menghasilkan makanan dan makanan tambahan mengiklankan bahawa produk mengandungi Omega 3 boleh mengurangkan risiko sakit jantung koronari dan menurunkan paras kolesterol darah.

Saranan FDA kerana bukti kukuh hasil pelbagai kajian menunjukkan kesan baik pemakanan ikan dengan kesihatan jantung.

Antara laporan mengenai kelebihan Omega 3 diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition pada 1997, pengkaji mendapati pengambilan Omega 3 dengan makan ikan setiap hari menurunkan paras trigliserida darah sehingga 25 hingga 30 peratus.

Satu kajian di Amerika Syarikat yang mengkaji hubung kait pemakanan ikan dengan pencegahan serangan jantung untuk kali kedua mendapati penurunan 29 peratus kadar kematian di kalangan pesakit yang makan ikan setiap hari.

Pada 1999, pengkaji dari Gissi Prevenzione melaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet mengenai kajian membabitkan 11,324 pesakit yang mendapat serangan jantung (myocardial infarction).

Semua pesakit ini diberi Omega 3 sebanyak 1,000 miligram setiap hari dan kesimpulan kajian ini menyatakan pengurangan kadar kematian akibat serangan jantung kali kedua sebanyak 45 peratus. Kesan baik pengambilan Omega 3
diamalkan setiap hari didapati selepas tiga bulan dan seterusnya.

Pada 2006, dua jurnal perubatan utama di Amerika Syarikat iaitu American Journal of Clinical Nutrition dan Journal of American Medical Association (JAMA) memberi ulasan positif mengenai kelebihan Omega 3.

Ia menyatakan, berdasarkan laporan kajian dijalankan di seluruh dunia, wujud pengurangan ketara dalam kadar kematian keseluruhan dan insiden penyakit serangan jantung dalam kalangan mereka yang mengamalkan pemakanan banyak ikan atau minyak ikan atau mengambil makanan tambahan Omega 3 setiap hari.

03 May 2014

reput gigi



Senyuman menawan sering dikaitkan dengan kehidupan bahagia. Bagaimanapun, senyuman sedikit ‘cacat’ jika ada antara gigi kita rongak atau rosak.

Oleh itu, ramai cuba sedaya upaya mengelak menghadapi masalah itu dengan menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.


Sebut saja sakit gigi, kita akan terkedu. Ia boleh menyebabkan kita menderita tetapi ramai keberatan berjumpa doktor gigi sehingga menjejaskan keupayaan menelan atau bertutur.

Meskipun perangkaan daripada Kaji Selidik Epidemiologi Kesihatan Pergigian Orang Dewasa Tahun 2010 peringkat kebangsaan (NOHSA 2010) menunjukkan 88.9 peratus orang dewasa mengalami masalah kereputan gigi, penilaian dan kesedaran terhadap pentingnya penjagaan kesihatan mulut dalam kalangan mereka masih rendah.

Ini antara sebab hasil kajian dijalankan masih menunjukkan lebih 70 peratus daripada kanak-kanak berusia 12 tahun mengalami masalah kereputan gigi walaupun wujud pelbagai alat untuk menjaga kebersihan dan kesihatan mulut.

Lebih membimbangkan, hasil kaji selidik menunjukkan lapan hingga 10 gigi susu kanak-kanak prasekolah di Malaysia berumur bawah lima tahun diserang kereputan gigi.

Ini mungkin tidak memeranjatkan kerana seperti diketahui, kanak-kanak suka meniru perangai baik mahupun perangai buruk ibu bapa.

Namun demikian, banyak bukti menunjukkan kereputan dan kaviti gigi boleh dicegah lebih berkesan dengan memahami puncanya.

Lebih penting, amalan penjagaan mulut pada setiap hari dan pemeriksaan tahunan oleh doktor gigi boleh menghindarkan masalah gigi.

Penjagaan mulut dan gigi penting bukan saja untuk memastikan kita bebas daripada kesakitan, tetapi juga membolehkan kita menjalankan aktiviti berkualiti dalam kehidupan.

Malangnya, penjagaan mulut dan gigi sering diabaikan. Ada bukti menunjukkan lebih 3.6 bilion penduduk dunia dan berbilion gigi menjadi mangsa kereputan yang kini dikategorikan sebagai penyakit berjangkit.

Lebih malang lagi, jika kanak-kanak menjadi mangsa kereputan gigi, kesakitan dan mulut bengkak bukan saja menjejaskan keupayaan mereka untuk makan dan bercakap, tetapi turut membantutkan perkembangan fizikal.

Ini menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah dan menjalani kehidupan lebih berkualiti. Kesakitan bertambah apabila gigi terpaksa dicabut, meninggalkan luka yang mungkin lebih menyakitkan dan mengambil masa untuk sembuh.

Apabila 50 peratus daripada 20 batang gigi susu kanak-kanak berusia bawah lima tahun diserang kereputan gigi, mereka mungkin mengalami masalah kesihatan lain pada masa depan, termasuk yang boleh menjejaskan akal fikiran.

Kesan kereputan gigi bukan saja terbatas kepada mulut, bahkan ada bukti daripada hasil penyelidikan yang menunjukkan kereputan gigi boleh menjejaskan kesihatan.


Mengapa dan apa yang menyebabkan kaviti?

Kereputan gigi disebabkan tiga faktor utama. Selain bakteria, ada dua faktor lain iaitu makanan, gigi dan air liur di dalam mulut yang dikawal.

Oleh itu, pastikan anda mengamalkan diet sihat dan seimbang dengan mengambil makanan berserat dan kurang gula pada masa betul.

Pada masa sama, kita perlu kurangkan pengambilan snek di antara waktu makan. Pastikan juga makanan tidak liat dan melekit kerana ia mengumpul plak untuk tempoh lebih lama pada permukaan gigi.

Plak melekat pada sebarang permukaan, sama ada keras mahupun lembut, dan mengumpul bakteria. Dalam masa kurang lima minit, makanan bergula menjadi rebutan kira-kira dua juta bakteria yang menjadi penghuni tetap dalam mulut, khususnya bakteria Streptococcus mutans dan seumpamanya seperti strep salivarius dan strep viridians.

Bakteria ini boleh menurunkan tahap asid ke 5.5 (pH 5.5). Pada tahap ini, mineral pada ion kimia yang membentuk lapisan enamel luar (lapisan luar putih seperti mutiara) akan terhakis atau terlarut, meninggalkan bukaan yang boleh mengumpul ion kimia yang tidak baik daripada air liur dalam mulut anda untuk melekap dalam lubang.

Justeru, bagi memastikan mempunyai cukup ion kimia positif seperti Fluorida (F-), anda mesti minum air mengandungi fluorida, bukan air minuman ringan.

Air minuman ringan mengandungi banyak gula iaitu antara enam dan sembilan sudu teh penuh. Jangan lupa untuk memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida.

Sebaik saja ubat gigi berbuih, ion fluorida dalam ubat gigi akan memastikan ia mengisi lubang seni dalam enamel untuk menjadikan gigi lebih kuat. Setidak-tidaknya, gigi lebih kuat akan melengahkan pembentukan kaviti lebih besar.

Kita sewajarnya mengikut konsep 80/20 Jepun yang bermakna pada usia 80 tahun, warga tua negara itu masih dapat mengekalkan 20 (daripada 32) gigi kekal. Dengan demikian membolehkan mereka makan, senyum, hidup sihat dan merasai nikmat hidup berkualiti.

Untuk pengetahuan mereka yang gemar minum air suling atau menggunakan air bertapis, ada bukti menunjukkan kebanyakan fluorida hilang ketika proses penyulingan atau penapisan.

Perkara lebih penting untuk diketahui, keadaan dalam mulut mengambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk kembali ke tahap neutral pH 6 atau lebih seperti sebelum makan.

Pada kebanyakan masa, gigi tidak mempunyai peluang untuk mencapai tahap ini kerana kebanyakan rakyat Malaysia gemar makan snek di antara waktu makan.

Membiarkan ekosistem mulut berasid berbahaya kerana satu lagi jenis bakteria berbahaya, Lactobacillus acidophilus dan keluarganya boleh bermaharajalela dalam keadaan pH berasid dan akan mengekalkannya pada tahap rendah atau lebih rendah untuk tempoh lebih lama hingga melanjutkan kepesatan pelarutan.

Proses pembentukan kereputan gigi berterusan dan kekal sepanjang hayat. Anda menghadapi kereputan gigi yang boleh atau tidak boleh dilihat dengan mata kasar sepanjang hayat.

Namun jika menjaga gigi dengan baik dan berjumpa doktor untuk pemeriksaan awal, besar kemungkinan anda tidak mempunyai kaviti atau banyak gigi berlubang yang besar, baik pada usia muda mahupun pada usia lewat.


Bagaimana menjaga mulut

Sungguhpun mulut terdedah kepada kereputan gigi, kita boleh mengurangkan peluang mendapat kaviti dengan menjaga kebersihan dan kesihatan mulut secara keseluruhan dengan membuat perubahan kecil dalam gaya hidup kita.

• Jika hamil, anda wajar mendapat ucapan tahniah. Mulakan belaian kasih sayang untuk bayi dalam kandungan dengan mengamalkan diet seimbang dan mengambil banyak sayuran serta buah-buahan mengandungi vitamin, mengelak atau mengehadkan pengambilan ‘asam boi’ atau makanan dan minuman manis yang sangat digemari wanita berbadan dua.

Setidak-tidaknya, minum banyak air berfluorida. Pastikan anda memberus gigi hingga bersih sekurang-kurang dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida, terutama sebelum tidur.

Kurangkan tabiat pengambilan snek bagi mengurangkan asid dalam mulut. Jangan lupa berjumpa doktor gigi bagi memastikan ia dalam keadaan baik.

• Kekalkan kecomelan si manja dengan memulakan tabiat menjaga kebersihan mulut sejak bayi. Bersihkan mulut bayi dengan tuala kecil basah dan bersih selepas setiap kali menyusu.

• Jaga kebersihan dan kesihatan mulut si manja supaya sentiasa dapat mengukir senyuman menawan. Mulakan memberus gigi bayi tanpa ubat gigi sebaik gigi susu tumbuh pada usia lima hingga enam bulan.

Apabila mula menggunakan ubat gigi pada usia dua tahun, pastikan anda mengawasi si manja memberus gigi supaya tidak menelan terlalu banyak ubat gigi, lebih-lebih lagi ubat gigi berfluorida. Kumur mulut si manja sehingga bersih. Si manja pasti akan rasa segar dan dapat tidur lena.

• Apabila si manja boleh makan, ini masanya untuk memulakan tabiat menjauhkan gula. Jangan tambah perasa (garam atau gula) ke dalam makanan si manja. Selera bayi tidak sewajarnya dirangsang sejak awal.

Mulakan dengan beberapa sudu kecil bijirin (tanpa gula) atau bubur nasi dan tambah kuah sayur terlebih dulu. Seterusnya, tambah sup daging tanpa perasa dan akhir sekali tambahkan buah-buahan. Dengan cara ini, anda membantu membiasakan si manja dengan gaya hidup sihat.

• Untuk warga emas atau mereka yang memakai gigi palsu, pastikan gigi palsu ditanggalkan sebelum tidur dan diberus untuk menjaga kebersihannya.

Kemudian letakkan dalam air untuk semalaman. Tisu lembut dalam mulut anda memerlukan oksigen dan kesegaran.

Bersihkan mulut dengan betul, pastikan anda memberus lidah (yang biasanya memerangkap sel mati dan sisa makanan) dan berkumur dengan ubat berfluorida. Anda akan rasa bersih dan segar apabila masuk tidur.

• Jika menghidap penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis) atau sakit jantung, lebih penting memastikan mulut sentiasa bersih tanpa kaviti terbuka.

Ini kerana mulut pintu masuk pertama bagi segala yang mengandungi berbilion bakteria. Kesihatan mulut yang tidak dijaga dengan baik boleh memburukkan lagi keadaan penyakit kronik.

Jika boleh, masukkan ubat kumur dalam senarai barang keperluan apabila ke pasar raya untuk membeli-belah, tetapi ubat kumur hanya wajar digunakan selepas memberus gigi!

Umumnya, empat langkah penting boleh anda ambil untuk menjaga kesihatan mulut.

• Jaga kebersihan mulut dengan memberus gigi hingga bersih sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk menanggalkan kotoran dan bakteria yang melekat pada permukaan gigi serta dalam lubang papila lidah.

• Guna alat menjaga kebersihan mulut yang lain seperti flos gigi atau berus antara gigi untuk membantu membersihkan sisa makanan yang terselit di celahnya, lebih-lebih lagi jika anda memakai pendakap gigi untuk rawatan ortodontik atau bentuk rawatan pemulihan lain yang mahal seperti bridge dan implan. Tanya doktor gigi apakah yang terbaik untuk anda.

• Guna ubat gigi berfluorida untuk menguatkan gigi dan melindungi gigi daripada kereputan. Elak pengambilan terlalu banyak makanan, minuman dan snek bergula untuk mengelakkan kereputan gigi.

• Dapatkan pemeriksaan doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun supaya masalah kereputan boleh dikesan dan ditangani lebih awal. Ini dapat mengurangkan kos penjagaan pergigian kerana anda kurang memerlukan prosedur rumit dan mahal.

Pada kurun ke-19, kereputan gigi disifatkan sebagai ‘penyakit mewah’ di negara Barat.


29 April 2014

bahaya produk kesihatan on line





KUALA LUMPUR – Jangan mudah terpedaya membeli ubat atau produk kecantikan melalui Internet, tanpa pengesahan pendaftarannya, kerana ia mungkin produk yang memudaratkan kesihatan.

Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata walaupun penjualan ubat melalui Internet kini semakin popular, namun pengguna perlu sedar kementerian tidak pernah mengesahkan sesuatu produk yang diiklankan atau dijual melalui Internet itu selamat untuk digunakan.

Jangan terlalu cepat percaya dengan testimoni keterlaluan tanpa mengenal pasti produk terlebih dahulu yang menyebabkan pengguna tertipu atau lebih malang menjadi mangsa produk yang tidak mendapat kelulusan, katanya.

“Pastikan produk-produk ini berdaftar dengan KKM iatu mempunyai nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram Meditag.

“Bagi produk makanan atau minuman tambahan, periksa label kandungannya terlebih dahulu, sebelum membeli manakala bagi produk kosmetik, semak status notifikasi sebelum membuat pembelian,” katanya kepada Bernama di sini.

Mazlan berkata produk berdaftar akan diberi satu nombor pendaftaran khusus seperti MAL20001564T, yang perlu dilekatkan bersama label keselamatan hologram Meditag, pada bungkusannya.

Bagi produk kosmetik pula, perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM sebelum dipasarkan dan contoh nombor notifikasi ialah NOT120602463K.

“Oleh yang demikian jika membeli secara ‘online’ sukar untuk memastikan status pendaftaran ini, sebaiknya (elok) beli di luar dengan mendapatkan maklumat yang tepat mengenainya daripada ahli farmasi atau daripada pegawai perubatan klinik atau premis farmasi,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 33,704 produk tidak berdaftar dengan KKM dirampas, dengan nilai rampasan sebanyak RM43,220,070.

Katanya produk-produk ini dirampas melalui aktiviti penguatkuasaan seperti serbuan dan pemeriksaan ke atas premis dan saringan di pintu masuk negara.

“Sepanjang tahun yang sama juga sejumlah 1,061 ubat dan suplemen kesihatan telah didaftarkan manakala sejumlah 69,925 notifikasi diluluskan ke atas produk komestik,” kata Mazlan.

Bagi menjamin keselamatan pengguna, KKM menjalankan prosedur yang ketat sebelum mendaftarkan sesuatu produk.

Katanya semua produk farmaseutikal perlu berdaftar dengan PBKD bagi menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesannya.

“Kami akan membuat pemeriksaan ke atas premis dan proses pengilangannya untuk memastikan mereka mematuhi Amalan Pengilangan Baik (GMP), selepas itu penilaian data akan dilakukan oleh PBKD untuk meluluskan permohonan tersebut atau tidak,”

“Selepas itu satu nombor pendaftaran akan dilekatkan bersama label keselamatan hologram Meditag pada bungkusannya, manakala bagi kosmetik akan diberikan notifikasi sebelum dipasarkan,” kata Mazlan.

Dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna pula, beliau berkata pihaknya mengadakan dialog bersama para peniaga secara berkala termasuk kempen-kempen di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Ini sebagai langkah proaktif bagi memberi pendidikan dan maklumat kepada orang awam dalam memilih produk berdaftar dan bernotifikasi daripada KKM serta membantu mereka mengelak terbeli produk palsu atau yang tidak mendapat kelulusan,” katanya.

25 April 2014

mata bionik



PONTZ yang menerima mata bionik menjalani latihan penglihatan di Pusat Mata Kelogg, Universiti Michigan, Ann Arbor, Michigan pada 16 April lalu.

DETROIT, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki yang buta akibat satu penyakit mata kini boleh melihat semula selepas menerima 'mata bionik' yang merupakan satu peralatan berteknologi tinggi yang membantu dia melihat semula.

Lelaki tersebut, Roger Pontz, 55, disahkan menghidap penyakit mata yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa ketika masih muda yang menyebabkan penglihatannya menyusut sehingga buta.

Bagaimanapun, sebuah syarikat perubatan, Second Sight Medical Products dengan kerjasama Pusat Mata Kellogg di Universiti Michigan, Ann Arbor berjaya menghasilkan satu mata bionik yang mampu membantu Pontz, melihat semula.

Implan tiruan pada mata kiri Pontz adalah sebahagian daripada sistem yang dibangunkan syarikat itu.

Ia mengandungi cermin mata yang mempunyai satu kamera kecil dan pemancar.

Sistem itu berfungsi apabila kamera merakam imej yang kemudiannya ditukar menjadi denyutan elektrik yang dipancarkan secara tanpa wayar kepada beberapa elektrod pada permukaan retina.

Denyutan itu merangsang sel retina yang masih sihat.

Ia menyebabkan sel itu menghantar isyarat ke saraf optik.

Maklumat visual itu kemudiannya dipindahkan ke otak untuk ditukarkan kepada bentuk-bentuk cahaya yang boleh dikenal pasti sekali gus membolehkan pesakit memperoleh sedikit fungsi penglihatan.

Pontz berkata, selepas memakai sistem itu, dia kini boleh melihat bayang isteri, kucing dan cucunya selepas beberapa tahun hidup dalam kegelapan.

Dia yang merupakan bekas pekerja kilang merupakan antara empat orang di AS yang menerima retina tiruan

13 April 2014

silap bedah kerana nama sama



Zhenjiang: Pakar bedah di hospital di Yueqing tersilap membuang dua per tiga perut seorang wanita yang tidak mempunyai masalah kerana mempunyai nama yang sama dengan seorang lagi pesakit yang sepatutnya dibedah.

China.org melaporkan, warga emas yang dikenali sebagai Chen pada mulanya hanya datang membuat pemeriksaan di hospital berkenaan selepas mengadu sakit perut.
Menurut menantu pesakit malang itu, Wang, memandangkan Chen dan suaminya tidak boleh membaca mereka tidak memahami laporan yang dikeluarkan doktor. Namun, apabila anak mereka mendapati laporan itu menyebut Chen mempunyai kanser, mereka bergegas untuk berbincang dengan doktor yang menasihatkan pembedahan segera perlu dijalankan.

Sehingga pembedahan selesai dijalankan, perkara itu masih belum disedari sehinggalah pesakit sebenar datang untuk mengambil laporannya dan laporan itu dikatakan hilang.

Timbalan pengarah perhubungan perubatan hospital berkenaan, Nan Xiaohao berkata, kesilapan itu berlaku kerana kecuaian dan kebetulan kedua-dua pesakit mempunyai nama yang sama dan hadir ke hospital untuk membuat pemeriksaan perut pada hari yang sama.

05 April 2014

sebelah wajah budak lelaki penuh bulu



AN QI, dari Dehui, Wilayah Jilin dilahirkan dengan sebelah wajahnya dipenuhi bulu.

DEHUI, China - Seorang budak lelaki membuatkan doktor-doktor bingung kerana sebelah wajahnya yang dipenuhi bulu, lapor sebuah akhbar kelmarin .

Sebelah wajah An Qi, 8, ditumbuhi bulu sejak dia dilahirkan tetapi bulu pada wajahnya itu semakin panjang apabila umurnya meningkat.

An Qi yang menetap di sini, Wilayah Jilin berkata, dia sedih mengenangkan keadaan dirinya yang kerap menjadi mangsa ejekan rakan-rakan sekelas.

Ayahnya, An Fenglin, meninggal dunia ketika An Qi berusia empat tahun manakala ibunya, Fan Chunfeng pula diserang sakit mental.

Dia kini tinggal bersama datuk dan neneknya.

Namun, nasib kanak-kanak malang itu bakal berubah tidak lama lagi selepas sebuah hospital tempatan menawarkan pembedahan percuma untuk membuang rambut lebat yang memenuhi sebelah wajahnya

bahayanya ‘headphone’ & ‘earphone’




Tidak pelik kalau dilihat  sebilangan besar anak muda menggunakan ‘earphone’ untuk mendengar muzik ketika menunggu teman, duduk seorang diri sambil minum atau membaca dan paling kronik menjadikan kewajipan untuk tidur malam. Itu adalah obsesi kebanyakan anak muda hari ini.

Malah, ada juga yang mengenakan ‘headphone’ untuk kelihatan lebih bergaya lebih-lebih lagi beberapa jenama terkenal dari barat sudah memperkenalkannya sebagai satu gaya hidup moden terbaru golongan remaja seluruh dunia. Justeru mana mungkin remaja kita mahu ketinggalan.

Ada juga yang mengenakan ‘earphone’ ketika memandu bagi mengelakkan kecuaian bercakap dalam telefon ketika memandu. Kemudian ‘earphone’ itu tidak ditanggalkan walaupun sudah habis berbual.

Semua tindakan ini ada kesannya dan berbahaya namun jarang sekali kita sedar. Mengikut kajian, penggunaan kedua-dua alat ini boleh menyebabkan kesan negatif berpanjangan. Apakah sebabnya?

Meningkatkan kadar bakteria dalam ­telinga

Percaya atau tidak, udara bersih di sekeliling anda tidak berupaya memasuki telinga. Ini kerana pemakaian alat itu menyebabkan ruang udara di telinga menjadi padat dan kecil. Bakteria yang didapati dalam telinga juga akan meningkat jumlahnya jika anda terus menerus memakai alat itu tanpa henti.

Mengikut kajian, telinga anda tidak boleh menampung pelbagai bakteria dan pemakaian dua alat kegemaran golongan muda ini secara berterusan akan menyebabkan kesakitan pada telinga pada masa hadapan.

Mendengar muzik dengan kuat pada ‘earphone’ boleh merosakkan telinga dan menurunkan kekuatan daya pendengaran

Ketika anda memakai alat ini, ia berada berdekatan bahagian dalam telinga yang sensitif. Anda akan kehilangan keupayaan mendengar secara efektif sekiranya muzik dengan ‘volume’ yang kuat didengar secara berterusan.

Namun, itulah realiti kebanyakan anak muda ketika menggunakan alat ini yang mana mereka lebih gemar meletak ‘volume’ kuat seakan-akan mendengar konsert atau menonton acara sebenar. Kajian mengatakan yang masalah pendengaran adalah lebih tinggi dalam kalangan ‘earphone’ berbanding alat pembesar suara di rumah.

Memakai dua alat ini ketika memandu atau melancong tidak digalakkan 

Memanglah pemakaian alat ini dikatakan sebagai trend, tapi ada juga situasi di mana alat ini tidak boleh dipakai kerana bahaya yang menanti. Misalnya, penggunaan alat ini di saat memandu adalah sangat ditegah. Anda tidak mendengar bunyi kenderaan di belakang atau di depan anda dan ini boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diingini berlaku.

Banyak laporan berita dan rekod yang mengatakan punca berlakunya kemalangan dalam kalangan anak muda adalah mereka sedang menggunakan ‘headphone’ ketika memandu hingga tidak sedar isyarat yang diberikan oleh kereta lain.

Kesan negatif pada kesihatan 

Walaupun mendengar muzik di telinga tampak lebih tenang dan santai, ia juga menyebabkan kepala pening bagi sesetengah orang. Tidak cukup dengan itu, perkongsian alat ini juga boleh membawa kepada masalah jangkitan telinga.

Sebaiknya bersihkan ‘headphone’ dan ‘earphone’ anda dengan sanitizer sebelum atau selepas berkongsi bersama rakan.

03 April 2014

hati hati mengendong bayi



CARA memakai pengendong bayi.

Ramai ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan mengendong atau mendukung bayi dengan betul kerana tidak memikirkan kesan jangka panjang sekiranya teknik itu salah.

Sebenarnya mengendong bayi dengan cara salah akan memberi kesan kepada anak yang masih kecil terutama pada tulang paha.

Kaedah mengendong bayi yang masih kecil perlu betul bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini berlaku.

Banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengendong bayi, antaranya meletak di bahagian depan atau belakang mengikut keselesaan ibu dan anak.

Bagi bayi berusia enam bulan ke bawah lebih baik meng­gunakan teknik meletak di bahagian hadapan atau silang untuk memberi keselesaan padanya.

Bayi kecil mempunyai tulang yang masih lembut dan teknik yang salah boleh mendatangkan kecederaan padanya. Bagi bayi enam bulan ke atas atau yang sudah boleh duduk sendiri boleh mengendong di bahagian belakang.

Dengan mengendong, bayi boleh mendengar degupan jantung ibu dan anak akan berasa lebih selesa serta gembira. Cara ini membolehkan ibu berinteraksi dengan anak dan memudahkan proses komunikasi berlaku.

Jika mengendong bayi dengan betul, orang tidak akan perasan kita sebenarnya sedang menyusukan anak. Selain itu mengendong bayi banyak membantu untuk berkomunikasi dengan anak dan boleh buat kerja dengan senang.

Jika menggunakan kaedah salah akan mendatangkan kecederaan pada tulang tempurung bayi yang menyebabkannya longgar.

Dalam pasaran terdapat pelbagai jenis alat pengendong yang menggunakan material berlainan, jadi ibu bapa perlu pandai memilih kain yang sesuai untuk memberi keselesaan kepada ibu dan bayi.

Posisi bayi ketika dikendong juga perlu betul supaya bayi berasa lebih selesa. Banyak pengendong yang ada di pasaran membuatkan kaki bayi tergantung dan lama kelamaan mereka akan berasa tidak selesa.

Ibu perlu bijak memilih alat pengendong yang boleh membantu kedua-dua paha anak supaya lebih selesa dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.

Jenis pengendong yang dipakai rapat dan ketat akan membuatkan bayi lebih dekat dengan badan ibu dan memudahkan ibu mencium bayi mereka. Ia amat baik kerana akan merapatkan lagi hubungan ibu dan anak. Apa yang penting pengendong ini tidak perlu terlalu rapat dengan dagu bayi kerana akan mengganggu pernafasan.

Ramai ibu yang gemar meletakkan anak mereka dalam keadaan muka bayi menghadap ke depan ketika sedang berjalan di luar rumah. Cara begini tidak elok kerana akan meluaskan pandangan anak.

Bayi menjadi tidak selesa dan mudah meragam kerana mengalami tekanan sekiranya melihat terlalu banyak benda serta boleh mengganggu emosinya.

Lebih baik sekiranya mengendong anak dengan mukanya mengadap ke arah ibu atau meletak di bahagian belakang kerana dia hanya boleh melihat beberapa benda dan tidak mengganggu emosi.

Ini juga boleh memastikan keadaan bayi sentiasa tenang dalam apa juga keadaan dan membantu ibu untuk meneruskan pekerjaan mereka.

Bapa juga perlu ambil tahu semua perkara yang berkaitan dengan penjagaan anak, walaupun ia kadang kala dianggap remeh oleh sesetengah pihak.

Jika sebelum ini kita tidak tahu jika mengendong anak dengan cara yang tidak betul boleh memberi kesan pada kakinya. Apabila sudah ada ilmu, bolehlah dipraktikkan apabila mengendong anak-anak.Memakai pengendong bayi  juga  ada kelebihan tersendiri kerana si ibu boleh melakukan kerja dua dalam satu masa. Malah anak berada dekat dengan si ibu.

Bahkan ia lebih selamat, khususnya ketika berada di tempat awam dan sesak contohnya apabila pergi membeli-belah. Selain itu, kita lebih senang untuk mengawal anak yang tengah lasak dan tidak berasa bebanan kerana badan anak menjadi lebih ringan jika menggunakan kaedah betul,.

Walaupun mengendong atau mendukung bayi dilihat sebagai perkara biasa, ia sebenarnya mempunyai pelbagai kebaikan yang tersembunyi.

Mengendong bayi ini dapat mengeratkan hubungan di antara ibu dan bayi. Hubungan kasih sayang ini terjalin kerana bayi sentiasa dekat dengan ibu ketika didukung. Ketika melakukan kerja atau tugas, ibu boleh mengendong bayi mereka kerana lebih selamat dan memberi keselesaan kepada anak yang masih kecil.

Antara kebaikan yang diperoleh ibu dan anak ialah:

Untuk bayi

Ketenangan - Dapat memberi ketenangan dan keselesaan kepada bayi kerana berada dalam pelukan ibu. Ibu dan bayi bergerak dan melakukan aktiviti bersama. Bayi mendengar suara ibunya ketika bercakap dengan orang lain dan turut merasakan emosi dan yakin ibunya dapat memberi ketenangan padanya.

Mengajar bayi bergembira - Kebanyakan bayi tidak mahu sendirian ketika terjaga kerana memerlukan seseorang berada di sampingnya. Ketika dalam kandungan, setiap saat bayi mendengar suara dan merasai belaian tangan ibunya. Ketika mengendong, ibu mengajar bayi bergembira apabila mengajak anak mereka untuk menyanyi, bercakap dan senyum bersama.

Mengajar mengenai persekitaran - Bayi melihat apa yang dilihat ibunya ketika didukung sambil mengajaknya bercakap untuk mengenali sesuatu yang ada di persekitaran. Dalam pelukan ibu, bayi dapat melihat dan mengamati kejadian di sekitarnya dengan jelas dan selesa selain melihat reaksi muka ibu untuk mengajarnya tentang emosi.

Belajar bercakap - Bayi yang sering didukung lebih mudah bercakap kerana sering melihat dan mengikut percakapan ibunya. Bayi juga mudah diajak untuk bercakap kerana posisinya yang berada pada aras mata dan suara yang jaraknya cukup dekat dengan ibu.


Untuk ibu

Mudah menyusukan anak - Ketika mengendong ia akan memudahkan ibu untuk menyusukan si kecil. Ibu juga dapat memberikan keadaan selesa kepada bayi berbanding ketika tidur.

Sambil bekerja - Mengendong bayi membolehkan ibu melakukan banyak kerja pada satu masa dengan lebih mudah dan tidak perlu menunggu bayi mereka di tempat tidur. Mengendong bayi membolehkan ibu melakukan kerja setiap masa dan boleh mengajak bayi mereka bercakap sebaik terjaga.

Lebih perhatian dapat diberikan - Bayi dalam pelukan amat dekat dengan pandangan memudahkan ibu memerhatikan pergerakan anaknya. Ibu dapat merasai ketenangan dan keselesaan bayi serta memudahkan ibu mengetahui perangai biasa anaknya.

Mudah tidur - Mengendong dapat menidurkan bayi dengan lebih mudah sambil diiringi muzik dan suara merdu ibu. Bayi akan tidur lebih lama kerana merasakan dirinya dipeluk erat ibu mereka.

bahana seluar ketat



Tidak dinafikan, ramai orang sukakan gaya mengikut fesyen terkini dan digilai ramai, lebih-lebih lagi golongan remaja. Mereka sering menukar penampilan mengikut peredaran zaman. Remaja lelaki khususnya gemar memakai seluar ‘skinny’ dan mengikut fesyen yang digemari wanita itu.

Apa yang paling menarik ialah seluar ‘skinny’ itu terbukti menjadi kegilaan ramai selain meraih populariti dalam kalangan remaja Malaysia. Pemakaian seluar jenis ini sebenarnya bertujuan untuk kelihatan lebih bergaya, namun terdapat remaja memakainya untuk kelihatan lebih kurus daripada saiz badan sebenar. Kebiasaannya seluar dipakai itu ketat kononnya untuk kaki tampak kecil dan elok dipandang.

Ramai remaja menghadapi pelbagai kesukaran apabila menyarungkan seluar yang terlampau ketat itu. Ada yang sampai melompat-lompat kerana saiz pinggang terlalu kecil. Walaupun begitu, ada saja yang taksub sehingga tidak memikirkan kesan buruk.

Hakikatnya, pakaian diciptakan bukan untuk memberikan bentuk atau saiz badan yang kita tidak miliki dan di situlah remaja menghadapi masalah. Banyak masalah kesihatan timbul akibat daripada pemakaian seluar yang terlalu ketat itu.

Pemakaian seluar ‘skinny’ yang ketat boleh menjadikan kaki anda rasa kebas pada paha atau lebih dikenali sebagai ‘meralgia paresthetica’.

Terdapat saraf deria datang daripada pelvis yang bertindak memberikan sensasi ke bahagian paha anda.

Remaja yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat bagaimanapun merasa kebas akibat daripada pengecilan saraf pada paha itu. Ketika duduk, paha akan mengalami tekanan tinggi dan apabila berdiri, anda tidak akan dapat rasakan pergerakan kaki. Menurut Morissey, keadaan ini tidak berbahaya namun apabila ia kerap berulang, maka ia boleh menyebabkan keadaan kaki kejang itu berkekalan.

Remaja yang menderita sindrom seluar ketat biasanya akan rasa tidak selesa pada abdominal, pedih ulu hati dan masalah sendawa apabila memakai seluar ketat itu.

Kebiasaannya seluar yang dipakai bersaiz tiga inci yang terlalu kecil untuk saiz pinggang seseorang remaja.

Makanan tidak akan hadam apabila terdapat tekanan pada bahagian abdomen. Pemakaian seluar ketat ini boleh membawa kepada masalah lebih serius seperti makanan tidak boleh dihadamkan dengan betul dalam kalangan remaja yang menghadapi masalah pedih ulu hati. Seluar yang terlalu ketat memburukkan lagi keadaan itu.

Lelaki terutamanya perlu berhati-hati dan mengambil berat dalam aspek pemakaian. Jika mereka tetap memilih seluar ketat sebagai pelengkap fesyen, risikonya amat tinggi. Misalnya, remaja lelaki akan hadapi masalah kilasan testis di mana satu testis akan berpintal dengan sendirinya. Jika tidak dirawat, pintalan itu akan memotong peredaran darah dan seterusnya testis akan mati.

Selain itu, remaja lelaki juga akan mengalami lemah kawalan kencing dan jangkitan saluran kencing. Lebih buruk lagi apabila bilangan sperma menurun dan kulat akan mudah merebak pada bahagian kelamin akibat daripada pemakaian seluar yang ketat ini.

Yang paling penting, remaja perlu menitikberatkan kesihatan terlebih dulu sebelum memilih pakaian yang digemari. Tanpa motivasi dan pengetahuan umum berkenaan masalah kesihatan yang mungkin berlaku, ramai remaja membeli pakaian secara membuta tuli.

Bagi mereka yang gemarkan seluar ‘skinny’ memanglah tidak salah memakainya, namun perlu juga buat pemilihan yang betul. Bagi mereka yang mempunyai saiz badan besar adalah dinasihatkan memakai seluar bersesuaian dengan saiz mereka. Kalau tidak ada saja masalah kesihatan timbul sekiranya dibiarkan secara berterusan.

Remaja lelaki khususnya perlu mengenakan seluar ‘skinny’ yang longgar dan tidak ketat untuk melancarkan saluran udara dalam seluar bagi mengelakkan jangkitan kuman dan sakit pada bahagian alat sulit.

Sekiranya masalah kesihatan dialami berlanjutan, jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sewajarnya agar kesakitan itu tidak membawa padah.

24 March 2014

aktivi manusia penyebab fenomena ombak merah / keracunan kerang kerangan



Kejadian ledakan alga yang pernah berlaku Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

Kita pernah terbaca dalam media cetak dan elektronik kejadian ombak merah dan kejadian keracunan kerang-kerangan di negeri Sabah.

Kejadian ombak merah di Sabah mula berleluasa akhir tahun 2012 dan berlarutan sehingga kini.

Ledakan alga berlaku di sekitar kawasan Kota Kinabalu dan sebanyak 43 kes keracunan kerangan telah direkodkan sepanjang tahun 2012 akibat termakan kerang-kerangan yang tercemar di kawasan tersebut.

Mungkin orang ramai tertanya-tanya apa itu sebenarnya ombak merah, dan bagaimana berlaku.

Ombak merah atau air merah, juga dikenali sebagai red tides, adalah satu fenomena semulajadi yang mana ledakan alga mikroskopik berlaku.

Dalam persekitaran marin terdapat pelbagai jenis hidupan mikroskopik yang penting untuk persekitaran dan hidupannya.

Hidupan mikroskopik ini menghasilkan makanan melalui aktiviti fotosintesis dan menyokong hidupan lain di aras trofik yang lebih tinggi dalam rangkaian makanan.

Kebanyakan hidupan ini terapung dalam turus air dan bergerak mengikut pergerakan air (arus dan pasang-surut) di sekelililingnya.

Hidupan mikroskopik ini juga sering dikenali sebagai alga atau fitoplankton.

Pelbagai jenis manfaat boleh diperoleh daripada fitoplankton.

Walau bagaimanapun, terdapat fitoplankton tertentu yang berupaya menghasilkan bahan metabolit beracun dalam selnya yang boleh membawa mudarat kepada hidupan laut serta manusia.

Apabila fitoplankton tertentu menumbuh dengan pesat akibat keadaan persekitaran yang sesuai atau rangsangan luaran seperti peningkatan komposisi nutrient dalam air, ia akan membentuk ledakan dan menyebabkan persekitaran air berubah menjadi kemerahan.

Walaupun kebanyakan ledakan adalah berwarna kemerahan, terdapat juga ledakan yang berbentuk kehijauan dan keperangan.

Jika ledakan alga berlaku di kawasan penghasilan kerang-kerangan (seumpamanya kerang, tiram dan kupang), kemungkinan besar kerang-kerangan ini akan tercemar dengan bahan metabolit beracun yang dihasilkan oleh fitoplankton tersebut.

Ini menyebabkan kerangan tidak sesuai untuk dipasarkan atau dimakan.

Kebanyakan bahan metabolit ini adalah jenis toksin saraf yang akan merencat fungsi saluran ion dalam sistem saraf mamalia.

Kejadian yang pernah berlaku Sabah baru-baru ini adalah disebabkan oleh fitoplankton dari kelas Dinophyta (dinoflagelat), Pyrodinium bahamense.

Ledakan spesies ini mula direkodkan sejak 1970an, dan telah menyebabkan beratus kes keracunan kerangan dan kematian.

Secara saintifik, keracunan ini dikenali sebagai keracunan kerangan yang melumpuhkan (Paralytic Shellfish Poisoning) atau PSP.

Mangsa keracunan akan mengalami kelumpuhan sistem otot dan penafasan dalam 30 minit.

Tahap ketoksikan ini adalah seribu kali lebih tinggi berbanding dengan cyanide, tidak berbau, tiada rasa, tidak dapat dimusnahkan dengan sebarang asid atau alkali, atau dengan suhu yang tinggi.

Kejadian PSP di Malaysia terdahulu hanya diketahui di perairan pantai Sabah.

Sehingga 1990an, beberapa kes keracunan PSP telah dilaporkan di Semenanjung Malaysia. Kes-kes keracunan yang berlaku di Sebatu, Melaka dan Tumpat, Kelantan adalah disebabkan oleh spesies dinoflagelat yang berbeza tetapi mempunyai keupayaan untuk menghasilkan toksin dalam kumpulan yang sama.

Dinoflagelat penyebab keracunan tersebut, Alexandrium minutum, dan melalui analisis kaedah kimia, di dapati  toksin yang dijumpai dalam lokan yang tercemar di kawasan keracunan adalah sepadan dengan dinoflagelat tersebut.

Ini membuktikan spesies ini bertanggungjawab ke atas kejadian keracunan kerang-kerangan di Tumpat.

Semasa kejadian ledakan alga dikesan, aktiviti pemantauan berkala akan dilakukan sehingga keadaan persekitaran kembali ke normal. Apabila paras racun dalam kerang-kerangan melebihi paras keselamatan piawaian antarabangsa, larangan pemasaran hasilan laut jenis kerang-kerangan akan dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab.

Terdapat juga ledakan yang berlaku disebabkan oleh fitoplankton yang tidak menghasilkan racun. Walau bagaimanapun, ia membawa masalah kepada industri penternakan ikan dalam sangkar yang kini berkembang pesat di persisiran pantai.

Ledakan alga akibat kepadatan sel yang tinggi akan menyebabkan kematian ikan secara besar-besaran, sama ada melalui kerosakan fizikal pada insang ikan atau secara tidak langsungnya menyebabkan kesesakan nafas akibat paras oksigen terlarut dalam air yang rendah.

Dalam keadaan persekitaran yang terlindung seperti teluk, kematian ikan semulajadi juga boleh berlaku di persekitaran tersebut.

Jenis dinoflagelat seperti Ceratium furca, adalah spesies yang bertanggungjawab ke atas kejadian ombak merah di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Spesies berkenaan tidak pernah dikaitkan dengan penghasilan toksin saraf, tetapi sering menyebabkan ledakan di persisiran pantai.

Spesies ini juga dilaporkan sebagai penyebab kematian ikan di kawasan perternakan ikan sangkar.

Salah satu pendorong kepada ombak merah adalah pengkayaan nutrien dalam persisiran pantai akibat aktiviti-aktiviti manusia.

Sisa kumbahan yang kaya dengan sumber nitrogen, buangan industri dan domestik yang kaya dengan fosforus, penggunaan baja dalam pertanian yang tidak terkawal, adalah antara sumber nutrient yang terbawa ke persisiran pantai dan seterusnya mendorong kejadian ledakan alga.

Pengusaha-pengusaha penternakan ikan dalam sangkar di nasihatkan supaya mengelakkan pemberian makanan ikan yang berlebihan yang mungkin membawa kepada pengkayaan nutrien di sekitar kawasan ternakan. Pereputan makanan juga menyebabkan hipoksia atau paras oksigen terlarut yang rendah di persekitaran tersebut.

Spesies ombak merah seperti yang dinyatakan terdahului juga dikenali sebagai most unwanted invasive species yang membawa kepada kerosakan persekitaran marin. Kebanyakan spesies ombak merah mempunyai peringkat kitar hidup dalam bentuk benih sel (resting cyst) yang unik.

Spesies tersebut membentuk benih yang dorman apabila keadaan persekitaran menjadi ekstrem dan terdesak.

Benih-benih tersebut akan bercambah dan mula membahagi apabila keadaan persekitaran menjadi sesuai .

03 March 2014

terapi ' puntianak ' di haramkan di dubai



DUBAI – Pihak berkuasa Dubai mengharamkan rawatan kecantikan yang menggunakan sel darah pelanggan untuk mengekalkan keremajaan wajah.

Prosedur platelet kaya plasma (PRP) itu dikenali sebagai rawatan wajah puntianak dan popular di kalangan pelanggan di banyak spa dan klinik di bandar raya itu.

Pembantu Pengarah Jabatan Kesihatan di Pihak Berkuasa Kesihatan Dubai (DHA), Dr Laila Mohammad Al Marzouqi mengesahkan PRP diharamkan.

“Ia satu bentuk prosedur baru dan perlu dikawal selia seperti prosedur kosmetik atau terapeutik lain untuk memastikan keselamatan pesakit, yang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Pengurus operasi Klinik Dermalase di Dubai, Natasha Bennett, berkata beliau berhenti menawarkan rawatan berkenaan di kliniknya berikutan arahan itu.

Suntik ke wajah Namun sebahagian klinik di Bandar Raya Penjagaan Kesihatan Dubai terus menawarkan rawatan berkenaan, dengan berkata mereka tidak tertakluk dengan garis panduan DHA.

Rawatan PRP adalah prosedur selama sejam yang memerlukan pakar terapi mengambil darah daripada kulit pesakit dalam dua hingga empat tiub. Ia kemudian diletakkan dalam mesin emparan yang memisahkan sel darah merah daripada plasma dalam darah.

Plasma dikumpulkan dalam 12 hingga 14 jarum suntikan dan disuntik ke wajah pesakit. Harga purata bagi satu sesi PRP antara Dh4,000 dan Dh5,000 (RM3,575 dan RM4,469).

Selebriti Kim Kardashian adalah antara yang menjalani prosedur itu, walaupun keberkesanan dan keselamatannya belum dikaji dalam ujian klinikal terkawal.

01 March 2014

Kesan Buruk Makan Mee Segera



Mee segera atau lebih dikenali sebagai megi merupakan mee separa masak yang dikeringkan dan dicampur dengan minyak, biasanya di makan setelah dimasak atau direndam dengan air panas selama beberapa minit. Makanan ini amat “popular” di kalangan orang bujang mahupun golongan yang sedang “kekeringan” poket..

Namun begitu tahukah anda, di sebalik kesedapan dan keenakan mee segera yang mempunyai pelbagai perisa itu sebenarnya kurang sihat sekiranya dimakan dalam kuantiti yang banyak dan secara berterusan.

Bayangkan kandungan di dalam bahan perencah mee tersebut mengandungi kadar MSG yang tinggi dan garam yang tinggi. Bahan perisa ini mempunyai pelbagai kesan negatif kepada kesihatan terutama terhadap fungsi buah pinggang.

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa individu yang alah kepada MSG mengalami panas dada, perubahan warna wajah kepada sedikit merah atau sakit kepala yang melampau setelah mengambil produk yang mengandungi MSG yang tinggi. Selain itu, kandungan dioxin dan plasticizers yang terkandung dalam pek pembungkusan (biasanya dalam bentuk mangkuk atau cawan) juga dikatakan mampu mempertingkatkan risiko serangan kanser di kalangan pengguna. Bahan kimia yang terlarut dalam air panas akan menjadi bahaya sekiranya di makan dari mangkuk secara terus.

Jangan lupakan juga teknik memasak mee segera anda. Tahukah anda, kandungan wax yang menyelaputi mee segera mengambil masa selama 4-5 hari untuk mencernanya. Bagaimana pula dengan kesan terhadap ibu mengandung dan kanak-kanak? Kanak2 yang berumur bawah 5 tahun akan mengalami masalah penyerapan nutrisi sekiranya dia mengambil mee segera lebih dari 3 kali seminggu. Pengambilan mee segera yang terlalu kerap bagi ibu mengandung juga boleh mengakibatkan keguguran atau menganggu proses pertumbuhan janin.

Jadi, anda para wanita, cubalah elakkan mengidam mee segera ya.. Cuba gantikan dengan makanan lain yang lebih berkhasiat. 136 bahan penambah kebanyakannya bahan kimia dibenarkan ditambah di dalam mi segera oleh Codex, piawaian makanan WHO/FAO. Gambar di atas menunjukkan bahan ramuan itu.Daripada 136 bahan penambah itu, 24 daripadanya adalah garam natrium, di samping garam makan juga turut ditambah.

Disebabkan itulah kenapa mi segera mengandungi natrium yang tinggi. Satu paket mi segera sahaja boleh mengandungi kira-kira maksimum pengambilan harian yang dibenarkan 2,400 mg natrium.Di samping banyak bahan penambah dan paras natrium yang tinggi, mi segera juga mengandungi jumlah lemak yang tinggi. Kebanyakan mi segera digoreng dalam proses pembuatannya.

Menurut Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) dan Pusat Keselamatan Makanan (CFS), sampel 3 cawan mi segera didapati mengandungi lebih daripada 30g daripada jumlah lemak bagi setiap pakej, yang merupakan lebih daripada 50% daripada had pengambilan harian bagi jumlah lemak untuk diet 2,000-kcal.Huraian lanjut, sila dapatkan akhbar Utusan Pengguna keluaran Nov-Dis 2010.





Buah Pinggang Yang Rosak

10 Ramuan Melampau Dalam Mi Segera:

 Adakah mi segera makanan sebenar atau makanan palsu? Apakah bahan penambah ini sebenarnya dan sejauh manakah ia selamat? Berikut beberapa ramuan yang mungkin anda mengambilnya bersama dengan mi segera anda.

1) Kalsium Sulfat: Kapur Paris.

 2) Asid Tartarik: Bahan kimia yang digunakan dalam julap dan untuk memutihkan cermin. Lebih beracun berbanding 100% alkohol tulen.

3) Kalsium Oksida: Digunakan rawatan sisa buangan dan dalam racun serangga.

4) Tertiary Butylhydroxyquinone (TBHQ): Produk berasaskan petroleum; satu bentuk butane (cecair dalam pemetik api).

5) BHT: Risiko karsinogen dan kesan berbahaya kepada ginjal.

6) Propyl Gallate: Satu xenoestrogen (sebatian seperti hormon). Boleh memberikan kesan sampingan kepada pembiakan, perkembangan janin yang sihat dan menghalang pengeluaran sperma.

7) Pentasodium triphosphate: Bahan pencuci paling berkuasa (sering digunakan dalam bahan cuci), bahan samak untuk kulit; juga digunakan dalam pengeluaran kertas, penapisan petroleum, aplikasi lombong dan rawatan air.

8) Propylene Glycol: Pelarut sintetik yang dianggap racun neurologi. Digunakan untuk pembuatan bahan pendingin, antibeku automotif, cecair yang berfungsi dalam tekanan hidraulik dan sebagainya. Jumlah berlebihan yang diambil boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang.

9) Polydimethylsiloxane: Digunakan dalam kanta sentuh, syampu (untuk menjadikan rambut berkilat dan licin), minyak pelincir dan jubin tahan panas.

10) Pewarna tiruan (contohnya: Sunset Yellow FCF dan Tartrazine): Menyumbang kepada hiperaktiviti dalam kalangan kanak-kanak; mungkin turut menyumbang kepada gangguan visual dan pembelajaran, kerosakan saraf; mungkin menjadi penyebab kanser.Kerosakan buah pinggang disebabkan pemakanan yang tidak sihat.

doktor buang 42 mutiara dalam badan



China – Ia merupakan detik-detik yang mencemaskan ketika menyaksikan doktor di sebuah hospital mengeluarkan 42 butir mutiara dari badan seorang lelaki, Zou Feng.

Lelaki itu telah ditipu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai `doktor’ dan mendakwa dengan menanam mutiara-mutiara itu dalam badan, maka ia dapat menyembuhkan penyakit belakangnya.

Menurut Zou, dia menemui doktor palsu itu selepas seorang jirannya mencadangkan dia berbuat demikian kerana ia merupakan kaedah perubatan zaman silam.

Demi untuk memulihkan sakit belakangnya, Zou yang berusia 61 tahun sanggup berjalan jauh untuk menemui doktor palsu itu pada 2011.

“Lelaki itu membuat torehan kecil dan memasukkan mutiara itu sebelum menjahit semula luka itu. Mutiara itu ditanam di seluruh badan saya.

“Orang ramai memberitahu saya bahawa kaedah ini berkesan menyebabkan saya ingin mencubanya dan akhirnya 42 mutiara dimasukkan dalam badan saya,’’ katanya.

Bagaimanapun Zou mula berdepan masalah apabila keadaannya bertambah buruk berbanding sebelum mendapatkan rawatan daripada doktor palsu itu.

Kali ini dia sukar untuk berjalan dan semua sendinya berasa sakit.

Zou cuba mencari semula doktor palsu itu namun dia sudah menghilangkan diri dan selepas siasatan dilakukan, lelaki itu tidak mempunyai lesen untuk menjadi pengamal perubatan.

Dalam pada itu, Dr. Sying Wan yang membedah Zou berkata, sepanjang menjadi doktor, dia tidak pernah melihat perkara seumpama itu.

“Saya tidak tahu apa objek berkenaan sehinggalah kami melakukan x-ray dan hanya mengetahui mengenai perkara sebenar selepas dimaklumkan oleh Zou.

“Kami berjaya mengeluarkan semua mutiara itu namun tulangnya terjejas teruk,’’ katanya.

ketumbuhan gigi dalam otak



IMEJ menunjukkan sebatang gigi yang ditemui di dalam otak seorang bayi di Maryland, AS

MARYLAND, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bayi yang berusia empat bulan berjaya menjalani satu pembedahan untuk membuang sebatang gigi yang tumbuh dalam otaknya, lapor akhbar Daily News kelmarin.

Doktor-doktor yang merawat bayi berkenaan menyifatkan pertumbuhan gigi dalam otak sebagai sejenis ketumbuhan yang luar biasa.

Imbasan otak yang dilakukan terhadap bayi yang dirahsiakan identitinya itu menunjukkan gigi tersebut berbentuk seperti gigi yang terdapat pada rahang bawah bayi.

Bayi lelaki itu kembali sihat selepas menjalani pembedahan tersebut.

Gigi berkenaan pula telah dihantar kepada beberapa pakar patologi untuk diperiksa

"Ketumbuhan gigi dalam otak jarang berlaku. Dalam kes ketumbuhan dalam otak, kejadian seperti ini tidak pernah didengar," kata pakar bedah saraf, Dr. Narlin Beaty yang menjalankan pembedahan tersebut.