keputusan terkini piala dunia 2014

selongkar di sini

PLEASE PRAY FOR GAZA











Get paid to share your links!

posting terkini

03 May 2014

reput gigi



Senyuman menawan sering dikaitkan dengan kehidupan bahagia. Bagaimanapun, senyuman sedikit ‘cacat’ jika ada antara gigi kita rongak atau rosak.

Oleh itu, ramai cuba sedaya upaya mengelak menghadapi masalah itu dengan menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.


Sebut saja sakit gigi, kita akan terkedu. Ia boleh menyebabkan kita menderita tetapi ramai keberatan berjumpa doktor gigi sehingga menjejaskan keupayaan menelan atau bertutur.

Meskipun perangkaan daripada Kaji Selidik Epidemiologi Kesihatan Pergigian Orang Dewasa Tahun 2010 peringkat kebangsaan (NOHSA 2010) menunjukkan 88.9 peratus orang dewasa mengalami masalah kereputan gigi, penilaian dan kesedaran terhadap pentingnya penjagaan kesihatan mulut dalam kalangan mereka masih rendah.

Ini antara sebab hasil kajian dijalankan masih menunjukkan lebih 70 peratus daripada kanak-kanak berusia 12 tahun mengalami masalah kereputan gigi walaupun wujud pelbagai alat untuk menjaga kebersihan dan kesihatan mulut.

Lebih membimbangkan, hasil kaji selidik menunjukkan lapan hingga 10 gigi susu kanak-kanak prasekolah di Malaysia berumur bawah lima tahun diserang kereputan gigi.

Ini mungkin tidak memeranjatkan kerana seperti diketahui, kanak-kanak suka meniru perangai baik mahupun perangai buruk ibu bapa.

Namun demikian, banyak bukti menunjukkan kereputan dan kaviti gigi boleh dicegah lebih berkesan dengan memahami puncanya.

Lebih penting, amalan penjagaan mulut pada setiap hari dan pemeriksaan tahunan oleh doktor gigi boleh menghindarkan masalah gigi.

Penjagaan mulut dan gigi penting bukan saja untuk memastikan kita bebas daripada kesakitan, tetapi juga membolehkan kita menjalankan aktiviti berkualiti dalam kehidupan.

Malangnya, penjagaan mulut dan gigi sering diabaikan. Ada bukti menunjukkan lebih 3.6 bilion penduduk dunia dan berbilion gigi menjadi mangsa kereputan yang kini dikategorikan sebagai penyakit berjangkit.

Lebih malang lagi, jika kanak-kanak menjadi mangsa kereputan gigi, kesakitan dan mulut bengkak bukan saja menjejaskan keupayaan mereka untuk makan dan bercakap, tetapi turut membantutkan perkembangan fizikal.

Ini menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah dan menjalani kehidupan lebih berkualiti. Kesakitan bertambah apabila gigi terpaksa dicabut, meninggalkan luka yang mungkin lebih menyakitkan dan mengambil masa untuk sembuh.

Apabila 50 peratus daripada 20 batang gigi susu kanak-kanak berusia bawah lima tahun diserang kereputan gigi, mereka mungkin mengalami masalah kesihatan lain pada masa depan, termasuk yang boleh menjejaskan akal fikiran.

Kesan kereputan gigi bukan saja terbatas kepada mulut, bahkan ada bukti daripada hasil penyelidikan yang menunjukkan kereputan gigi boleh menjejaskan kesihatan.


Mengapa dan apa yang menyebabkan kaviti?

Kereputan gigi disebabkan tiga faktor utama. Selain bakteria, ada dua faktor lain iaitu makanan, gigi dan air liur di dalam mulut yang dikawal.

Oleh itu, pastikan anda mengamalkan diet sihat dan seimbang dengan mengambil makanan berserat dan kurang gula pada masa betul.

Pada masa sama, kita perlu kurangkan pengambilan snek di antara waktu makan. Pastikan juga makanan tidak liat dan melekit kerana ia mengumpul plak untuk tempoh lebih lama pada permukaan gigi.

Plak melekat pada sebarang permukaan, sama ada keras mahupun lembut, dan mengumpul bakteria. Dalam masa kurang lima minit, makanan bergula menjadi rebutan kira-kira dua juta bakteria yang menjadi penghuni tetap dalam mulut, khususnya bakteria Streptococcus mutans dan seumpamanya seperti strep salivarius dan strep viridians.

Bakteria ini boleh menurunkan tahap asid ke 5.5 (pH 5.5). Pada tahap ini, mineral pada ion kimia yang membentuk lapisan enamel luar (lapisan luar putih seperti mutiara) akan terhakis atau terlarut, meninggalkan bukaan yang boleh mengumpul ion kimia yang tidak baik daripada air liur dalam mulut anda untuk melekap dalam lubang.

Justeru, bagi memastikan mempunyai cukup ion kimia positif seperti Fluorida (F-), anda mesti minum air mengandungi fluorida, bukan air minuman ringan.

Air minuman ringan mengandungi banyak gula iaitu antara enam dan sembilan sudu teh penuh. Jangan lupa untuk memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida.

Sebaik saja ubat gigi berbuih, ion fluorida dalam ubat gigi akan memastikan ia mengisi lubang seni dalam enamel untuk menjadikan gigi lebih kuat. Setidak-tidaknya, gigi lebih kuat akan melengahkan pembentukan kaviti lebih besar.

Kita sewajarnya mengikut konsep 80/20 Jepun yang bermakna pada usia 80 tahun, warga tua negara itu masih dapat mengekalkan 20 (daripada 32) gigi kekal. Dengan demikian membolehkan mereka makan, senyum, hidup sihat dan merasai nikmat hidup berkualiti.

Untuk pengetahuan mereka yang gemar minum air suling atau menggunakan air bertapis, ada bukti menunjukkan kebanyakan fluorida hilang ketika proses penyulingan atau penapisan.

Perkara lebih penting untuk diketahui, keadaan dalam mulut mengambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk kembali ke tahap neutral pH 6 atau lebih seperti sebelum makan.

Pada kebanyakan masa, gigi tidak mempunyai peluang untuk mencapai tahap ini kerana kebanyakan rakyat Malaysia gemar makan snek di antara waktu makan.

Membiarkan ekosistem mulut berasid berbahaya kerana satu lagi jenis bakteria berbahaya, Lactobacillus acidophilus dan keluarganya boleh bermaharajalela dalam keadaan pH berasid dan akan mengekalkannya pada tahap rendah atau lebih rendah untuk tempoh lebih lama hingga melanjutkan kepesatan pelarutan.

Proses pembentukan kereputan gigi berterusan dan kekal sepanjang hayat. Anda menghadapi kereputan gigi yang boleh atau tidak boleh dilihat dengan mata kasar sepanjang hayat.

Namun jika menjaga gigi dengan baik dan berjumpa doktor untuk pemeriksaan awal, besar kemungkinan anda tidak mempunyai kaviti atau banyak gigi berlubang yang besar, baik pada usia muda mahupun pada usia lewat.


Bagaimana menjaga mulut

Sungguhpun mulut terdedah kepada kereputan gigi, kita boleh mengurangkan peluang mendapat kaviti dengan menjaga kebersihan dan kesihatan mulut secara keseluruhan dengan membuat perubahan kecil dalam gaya hidup kita.

• Jika hamil, anda wajar mendapat ucapan tahniah. Mulakan belaian kasih sayang untuk bayi dalam kandungan dengan mengamalkan diet seimbang dan mengambil banyak sayuran serta buah-buahan mengandungi vitamin, mengelak atau mengehadkan pengambilan ‘asam boi’ atau makanan dan minuman manis yang sangat digemari wanita berbadan dua.

Setidak-tidaknya, minum banyak air berfluorida. Pastikan anda memberus gigi hingga bersih sekurang-kurang dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida, terutama sebelum tidur.

Kurangkan tabiat pengambilan snek bagi mengurangkan asid dalam mulut. Jangan lupa berjumpa doktor gigi bagi memastikan ia dalam keadaan baik.

• Kekalkan kecomelan si manja dengan memulakan tabiat menjaga kebersihan mulut sejak bayi. Bersihkan mulut bayi dengan tuala kecil basah dan bersih selepas setiap kali menyusu.

• Jaga kebersihan dan kesihatan mulut si manja supaya sentiasa dapat mengukir senyuman menawan. Mulakan memberus gigi bayi tanpa ubat gigi sebaik gigi susu tumbuh pada usia lima hingga enam bulan.

Apabila mula menggunakan ubat gigi pada usia dua tahun, pastikan anda mengawasi si manja memberus gigi supaya tidak menelan terlalu banyak ubat gigi, lebih-lebih lagi ubat gigi berfluorida. Kumur mulut si manja sehingga bersih. Si manja pasti akan rasa segar dan dapat tidur lena.

• Apabila si manja boleh makan, ini masanya untuk memulakan tabiat menjauhkan gula. Jangan tambah perasa (garam atau gula) ke dalam makanan si manja. Selera bayi tidak sewajarnya dirangsang sejak awal.

Mulakan dengan beberapa sudu kecil bijirin (tanpa gula) atau bubur nasi dan tambah kuah sayur terlebih dulu. Seterusnya, tambah sup daging tanpa perasa dan akhir sekali tambahkan buah-buahan. Dengan cara ini, anda membantu membiasakan si manja dengan gaya hidup sihat.

• Untuk warga emas atau mereka yang memakai gigi palsu, pastikan gigi palsu ditanggalkan sebelum tidur dan diberus untuk menjaga kebersihannya.

Kemudian letakkan dalam air untuk semalaman. Tisu lembut dalam mulut anda memerlukan oksigen dan kesegaran.

Bersihkan mulut dengan betul, pastikan anda memberus lidah (yang biasanya memerangkap sel mati dan sisa makanan) dan berkumur dengan ubat berfluorida. Anda akan rasa bersih dan segar apabila masuk tidur.

• Jika menghidap penyakit kronik seperti diabetes (kencing manis) atau sakit jantung, lebih penting memastikan mulut sentiasa bersih tanpa kaviti terbuka.

Ini kerana mulut pintu masuk pertama bagi segala yang mengandungi berbilion bakteria. Kesihatan mulut yang tidak dijaga dengan baik boleh memburukkan lagi keadaan penyakit kronik.

Jika boleh, masukkan ubat kumur dalam senarai barang keperluan apabila ke pasar raya untuk membeli-belah, tetapi ubat kumur hanya wajar digunakan selepas memberus gigi!

Umumnya, empat langkah penting boleh anda ambil untuk menjaga kesihatan mulut.

• Jaga kebersihan mulut dengan memberus gigi hingga bersih sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk menanggalkan kotoran dan bakteria yang melekat pada permukaan gigi serta dalam lubang papila lidah.

• Guna alat menjaga kebersihan mulut yang lain seperti flos gigi atau berus antara gigi untuk membantu membersihkan sisa makanan yang terselit di celahnya, lebih-lebih lagi jika anda memakai pendakap gigi untuk rawatan ortodontik atau bentuk rawatan pemulihan lain yang mahal seperti bridge dan implan. Tanya doktor gigi apakah yang terbaik untuk anda.

• Guna ubat gigi berfluorida untuk menguatkan gigi dan melindungi gigi daripada kereputan. Elak pengambilan terlalu banyak makanan, minuman dan snek bergula untuk mengelakkan kereputan gigi.

• Dapatkan pemeriksaan doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun supaya masalah kereputan boleh dikesan dan ditangani lebih awal. Ini dapat mengurangkan kos penjagaan pergigian kerana anda kurang memerlukan prosedur rumit dan mahal.

Pada kurun ke-19, kereputan gigi disifatkan sebagai ‘penyakit mewah’ di negara Barat.


No comments :

Post a Comment