keputusan terkini piala dunia 2014

selongkar di sini

PLEASE PRAY FOR GAZA











Get paid to share your links!

posting terkini

27 February 2014

di kubur bersama manik



AKSESORI manik boleh diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi dan dikatakan mempunyai nilai yang tinggi apabila diwarisi.




LITAD MULOK, 60, sedang leka menguli adunan tanah liat  di gerai pamerannya sempena Karnival Bersama Muzium 2014 di Muzium Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia yang selesa mengenakan sepasang baju kebaya Nyonya berona kuning cair dengan kain sarung bercorak pua kumbu kelihatan malu-malu apabila gambarnya di ambil. "Tidak payah ambil gambar saya banyak-banyak. Saya sudah tua, tidak cantik lagi," ujarnya berseloroh. Sesi temu bual tambah mengujakan apabila wanita berketurunan Lun Bawang itu langsung tidak kekok berbahasa Melayu. Setiap butir katanya pula kedengaran baku persis gaya percakapan orang Sabah. "Saya berasal dari Lawas, Sarawak.

Daerah ini bersempadan dengan negeri Sabah. Tidak jauh kalau mahu ke Sipitang, Sabah, kira-kira 37 kilometer sahaja. Itu sebab cara pertuturan kami kedengaran seperti pelat orang negeri itu," ceritanya tersenyum. Sambil menggentel dan mengepal adunan tanah liat menjadi bentuk bebola kecil, Litad memberitahu, manik yang siap dibentuk perlu dibakar sebelum diwarnakan. "Tidak susah untuk buat manik. Macam buat biskut sahaja. "Lepas siap diuli, kita buat bentuk yang diingini dan bakar dalam ketuhar," seloroh wanita bertubuh kecil itu sambil disambut ketawa kecil beberapa pengunjung yang secara kebetulan berada di situ untuk melihat demonstrasi yang ditunjukkan.

Bagaimanapun, Litad mengakui proses membuat alat perhiasan itu memerlukan pengalaman serta kesabaran yang tinggi. Ibu kepada enam orang zuriat itu berkata, manik boleh diperoleh dalam pelbagai warna, bentuk dan jenis selain memiliki identiti serta fungsi tersendiri. Menurutnya, manik yang biasa menjadi pilihan termasuklah yang diperbuat daripada kaca, tanah liat, batu permata, cangkerang dan logam. "Ada juga yang diperbuat daripada gigi, kuku atau tulang binatang seperti beruang, babi hutan, badak sumbu, landak dan tenggiling. "Etnik Bidayuh misalnya sangat menghargai manik kaca berwarna kebiru-biruan manakala etnik Kayan menggemari manik seramik dengan corak tertentu seperti roset dan tribal. "Masyarakat Orang Ulu dan Iban pula sinonim dengan manik-manik kecil beraneka warna yang biasa dijahit pada pakaian tradisional, bakul, bekas tembakau serta pengendong bayi.

Litad yang menjalankan perusahan manik seramik di Kampung Long Tuma berkata, dia mendapatkan sumber tanah liat mentah dari tebing Sungai Lawas. Dia yang diiktiraf sebagai 'Tukang Ulung' oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan pada tahun 2013 menjelaskan, tanah liat lebih mudah digali dari dasar sungai ketika air surut. "Kalau air pasang, kami terpaksa menyelam lebih dalam untuk mendapatkan tanah liat," katanya sambil memberitahu, sumber alam itu boleh diambil sepanjang tahun. Bertutur lanjut, Litad berkata, aktiviti tersebut bagaimanapun jarang dilakukan ketika air pasang memandangkan buaya gemar muncul ke permukaan air pada waktu tersebut. "Biasanya kami menjalankan kerja secara berkumpulan terdiri daripada enam hingga tujuh orang wanita. "Bukan apa, kalau ramai, kami boleh saling menjaga keselamatan antara satu sama lain," katanya yang pernah terserempak dengan reptilia ganas itu tetapi mujurlah sempat beredar.

Berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang seni pembuatan manik seramik, Litad menerangkan, tanah liat itu kemudian dijemur di bawah terik matahari selama tiga hari berturut-turut. Menurutnya, setelah betul-betul kering, ia akan ditumbuk menggunakan lesung batu bagi mendapatkan tekstur yang halus dan sekata. "Seterusnya, serbuk tanah liat atau napal tadi akan diayak bagi mengasingkan lebihan pasir. Proses ini penting supaya manik tidak merekah atau pecah apabila dibakar. "Selepas itu, ia dicampur dengan air dan diuli sehingga menjadi doh sebelum dibalut di dalam plastik bagi mengekalkan kelembapan," jelasnya yang mampu menghasilkan sehingga 2,000 biji manik seramik sehari. Litad yang mengusahakan perniagaan itu bersama anaknya, Patricia Busak berkata, manik perlu dibakar sebanyak dua kali bagi mendapatkan warna yang cantik dan berkilat. "Pembakaran pertama selama lapan jam dibuat pada suhu 800 darjah Celcius.

Proses mewarna menggunakan cat seramik dilakukan sebelum dibakar sekali lagi dalam tempoh sama, kali ini pada suhu 1,800 darjah Celcius," katanya. Menurut Patricia, 45, pilihan warna tradisi seperti rona hitam, merah, kuning dan putih dikekalkan bagi memelihara keunikan pembuatan manik tradisional. Diilhamkan daripada motif flora serta corak imej tribal, manik dijadikan aksesori rantai, anting-anting, gelang tangan, hiasan kepala dan tali pinggang bagi menyerlahkan rupa paras si pemakai. "Corak-corak ini dilukis dengan teliti supaya kelihatan seragam dengan manik-manik lain. "Tekstur jalur pada manik juga dilorek menggunakan pencungkil gigi untuk mencipta sedikit kelainan khususnya dalam seni pembuatan manik moden," tuturnya. Tambah Patricia, seperti emas dan perak, manik seramik turut mempunyai nilai tersendiri.

Katanya, selain digunakan sebagai perhiasan diri, ia dikumpul sebagai koleksi dan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Oleh sebab ia barang warisan, seutas rantai manik tanah liat berusia ratusan tahun mampu mencecah harga ribuan ringgit, manakala sebiji manik tersebut berharga ratusan ringgit. "Manik pusaka disifatkan sangat berharga dan diangkat sebagai simbol kemewahan yang melambangkan status sosial si pemakai dalam masyarakat. "Dulu, manik hanya dipakai oleh golongan bangsawan, penghulu, ketua kampung atau tuai rumah. "Bagi masyarakat Lun Bawang, 50 biji manik jenis 'bao tulong buror' yang memiliki corak jalur seperti penyedut minuman dikatakan mempunyai nilai bersamaan dengan seekor kerbau," katanya.


Seekor kerbau betina dengan berat 200 hingga 450 kilogram (kg) dijual pada harga RM700 hingga RM1,700 manakala kerbau jantan dengan berat antara 300 hingga 600 kg boleh didapati pada harga RM2,500 hingga RM4,000 seekor. Bagaimanapun, kata Patricia, ada yang beranggapan manik terlalu berharga untuk diperdagangkan lebih-lebih lagi jika ia merupakan warisan nenek moyang. "Manik pusaka lazimnya diwarisi oleh golongan wanita baik anak perempuan, anak saudara perempuan atau menantu perempuan. "Bagi yang tiada waris, mereka akan dikuburkan bersama manik tersebut bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan orang lain," jelasnya

No comments :

Post a Comment