Selepas dikecam hebat ekoran kemunculan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ritual ‘Seru Mayat Untuk Timbul’, Raja Bomoh Sedunia, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengadakan ritual ‘menghalau puaka’ di KM306.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung.
Kawasan tersebut menjadi tumpuan oleh kerana menjadi lokasi kemalangan yang meragut nyawa Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, 73 dan pembantunya, Michael Cornelius apabila kenderaan Toyota Alphard yang dinaiki berlanggar dengan lori Mitsubishi Canter.
Gambar ritual Ibrahim yang tersebar di laman sosial Facebook dan Twitter mengakibatkan pelayar laman sosial sekali lagi bangkit mengecam tindakan berkenaan.
Rata-rata rakyat Malaysia mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap beliau daripada terus mengadakan kegiatan yang disifatkan salah disisi agama.
Namun sejak kehadiran beliau yang membuat ritual mencari MH370 dikecam rakyat Malaysia dan media antarabangsa, sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam.
Keadaan ini dilihat seolah-olah beliau mendapat ‘perlindungan khas’ pihak tertentu.
Hal Ini kerana Mesyuarat Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 22-23 November 2004 memutuskan rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin bercanggah dengan akidah kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat dan penipuan
Raja Bomoh berkenaan mendakwa kematian Karpal Singh baru-baru ini berpunca dari gangguan puaka Gua Tempurung yang banyak berkeliaran di kawasan tersebut.
Katanya, kawasan sekitar laluan Gua Tempurung itu memang terkenal dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu para pemandu kenderaan terutamanya pada sebelah malam.
Ternampak niat dan tujuannya memang baik tetapi jelas cara atau kaedah yang dijalankannya adalah salah. Adakah Islam menganjurkan cara demikian? Bolehkah kita percaya kemalangan semata-mata disebabkan gangguan penunggu dan mengenepikan faktor kecuaian manusia?
Adakah makhluk jahat, penunggu, hantu lebuhraya atau lebih tepatnya iblis dan syaitan dapat dihalau dengan cara yang beliau lakukan itu?
Apakah yang Raja Bonoh ini mahukan sebenarnya? Siapa yang menyuruhnya berbuat demikian, kenapa perlakuannya tidak dihalang dan macam-macam persoalan lagi muncul apabila melihat perlakuan terbaru beliau ini.
Sebelum ini, beliau telah melakukan dua kali ritual merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 di KLIA dan kemudian apabiia diumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi, Raja Bomoh itu juga dirakan melakukan ritual pencarian di sebuah kawasan tepi pantai.
Jika semasa di KLIA beliau membawa kelapa, tikar dan teropong buluh digunakan sebagai alat mencari MH370 yang masih misteri, dan di tepi pantai itu, buah kelapa dan teropong buluh terus menjadi alatan wajib bagi Raja Bomoh. Namun ritualnya langsung tidak membantu mencari pesawat yang hilang itu.
Tindakan Raja Bomoh itu mendapat kecaman banyak pihak, termasuk oleh Anwar Ibrahim yang membangkitkannya di Dewan Rakyat manakala tindakan Khairy Jamaluddin menegurnya pula mengundang kemarahannya sehingga beliau mengugut mahu menamparnya sepertimana beliau kononnya pernah menampar seekor buaya tidak lama dulu.
Beberapa pemimpin lain seperti Zahid Hamidi dan Shahidan Kassim juga menegur perbuatan Raja Bomoh, walaupun kemudian didedahkan bahawa kedua-dua pemimpin itu pernah dipakaikan selempang silat oleh Raja Bomoh beberapa tahun sebelum ini.
Raja Bomoh yang terlibat dalam bidang perbomohan ini sebenarnya adalah guru silat gayong sejak sekian lama, bahkan pernah mengadakan majlis penganugerahan selempang yang dihadiri oleh beberapa VVIP. Selain itu beliau juga terlibat dalam bidang perbomohan. Wajah dan iklan perubatannya sering muncul dalam beberapa akhbar tabloid sebelum ini.
Tetapi di awal tahun 80an dulu, ketika di Teluk Intan, ilmu persilatannya banyak dipertikaikan oleh orangramai dan beliau juga pernah ditampar ketika itu. Dalam kejadian lain pula, beliau juga pernah dibelasah sehingga terdampar di dalam longkang di Teluk Intan akibat masalah lain yang diwujudkannya.
Sejak itu beliau lama menghilang dah kemudian lebih popolar di Kuala Lumpur dengan acara perbomohan dan mengadakan majlis-majlis anugerah persilatan atau perhimpunan anak-anak muridnya sambil dihadiri oleh VVIP tertentu.
Dilaporkan juga sejak 2002 lagi, JAWI telah mengisytiharkan amalan perbomohan yang dijalankannya adalah bertentangan dengan Islam, namun beliau tidak pernah ditangkap atas kesalahan itu.
Berlakunya insiden kehilangan MH370 merancakkan kembali kemunculannya di tempat awam, walaupun tidak diketahui siapa yang menyuruhnya berbuat demikian. Dalam pencarian MH370, rasanya tiada sesiapa yang memintanya melakukan ritual di KLIA dan tepi pantai itu walaupun beliau didakwa menyebut nama seseorang VVIP yang memintanya berbuat demikian.
Begitu juga, selepas kematian Karpal Singh berhampiran Gua Tempurung, juga rasanya tiada mana-mana pihak yang tergamak memintanya melakukan ritual menghalau penunggu itu, apatah lagi semua perlakuan atau ritual yang dilakukannya itu amat memalukan sesiapa juga yang berfikiran waras menyaksikannya. Nampak lawak dan bodoh.
Sudahlah bertentangan dengan akal yang waras dan pemikiran logik, ia juga seperti menghina Islam sendiri. Apakah amalan Islam begitu hina dan kolot?
Dalam hal ini, oleh kerana JAWI dikatakan sudah pernah mengisytiharkan amalannya salah dan bertentangan dengan Islam, JAWI atau mana-mana pejabat agama lain tidak seharusnya sekadar menjadi penonton saja kepada perlakuan beliau itu. Bertindaklah segera untuk mengelakkan lebih banyak kekeliruan dan kejadian yang memalukan agama.
Meskipun Raja Bomoh ini sudah berusia lebih 80 tahun, pejabat agama tidak harus ada simpati atau helah untuk tidak menahannya. Jika Kassim Ahmad yang didapati mengeluarkan pandangan anti hadis masih boleh ditahan dan bakal didakwa dalam usianya yang juga lebih 80 tahun, biar kurang disenangi oleh Mahathir Mohamad, tiada alasan juga untuk tidak bertindak sama terhadap Raja Bomoh yang lebih menyeleweng dan memalukan agama ini.
Jika dibiarkan, tidak mustahil nanti apabila berlaku saja sesuatu kejadian dalam negara, maka akan muncullah Raja Bomoh ini dengan segala ritual dan peralatannya yang pelil-pelik. Sudahlah kita di negara ini dipelikkan dengan perangai Zulkifli Noordin dan Nawawi Ahmad, Ahli Parlimen Langkawi (nasih baik sudah meminta maaf) yang mencemar dan menghodohkan wajah Islam seolah-olah kematian bukan Islam boleh dipermain dan dihina, perlakuan Raja Bomoh ini jika dibiarkan akan mencacatkan lagi wajah Islam di negara ini dan di mata bukan Islam.
Kepada Jamil Khir Baharom, menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam serta jabatan agama seluruh negara, segeralah banteras kekotoran dan karut-marut ini.
No comments :
Post a Comment